X
Jumaat, 25 March 2022 | 4:37pm
Gambar dikeluarkan perkhidmatan media Presiden Ukraine menunjukkan Zelenskyy menyertai mesyuarat Majlis Eropah secara maya. - FOTO AFP
Gambar dikeluarkan perkhidmatan media Presiden Ukraine menunjukkan Zelenskyy menyertai mesyuarat Majlis Eropah secara maya. - FOTO AFP

Lebih 2,000 kanak-kanak diculik sejak pencerobohan Russia - Presiden Ukraine

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, mendakwa lebih 2,000 kanak-kanak diculik sejak Russia mencerobohi negara ini.

"Kami tidak tahu di mana kanak-kanak kami itu berada," katanya pada sidang kemuncak Majlis Eropah yang disertai beliau secara maya, semalam.

Zelenskyy turut menuduh tentera Russia menyerang konvoi bantuan kemanusiaan, dan menyasarkan wanita serta kanak-kanak di koridor evakuasi, lapor Agensi Anadolu.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk, memaklumkan lebih 3,300 orang dipindah keluar dari wilayah Kyiv, Donetsk dan Zaporizhzhia, semalam.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, pihak Ukraine tidak dapat membawa keluar penduduk di Mariupol yang kini dikepung, manakala sejumlah bas membawa bantuan kemanusiaan pula tidak dapat memasuki bandar itu.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurang 1,035 orang awam terbunuh dan 1,650 lagi cedera dalam konflik di Ukraine.

Lebih 3.67 juta warga Ukraine dilapor melarikan diri ke negara jiran, manakala berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal di Ukraine, menurut agensi pelarian PBB. – BERNAMA

Berita Harian X