Khamis, 3 March 2022 | 10:59am
Seorang wanita membawa beberapa kotak kit ujian COVID-19 yang dibeli daripada sebuah kedai di Hong Kong. - Foto AFP
Seorang wanita membawa beberapa kotak kit ujian COVID-19 yang dibeli daripada sebuah kedai di Hong Kong. - Foto AFP

COVID-19 tingkatkan masalah kesihatan mental

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran peningkatan mendadak masalah tekanan dan kemurungan berkaitan COVID-19, sebahagian besar disebabkan pengasingan sosial, lapor agensi Xinhua.

Masalah itu kebanyakannya membabitkan orang muda dan wanita.

Berdasarkan ringkasan saintifik dikeluarkan WHO, masalah tekanan dan kemurungan dilaporkan meningkat sebanyak 25 peratus.

Tinjauan mendapati kira-kira 90 peratus negara memiliki pelan tindak balas COVID-19 termasuk kesihatan mental dan sokongan psikososial, namun kebimbangan dan jurang berkaitan masalah itu terus kekal.

WHO memaklumkan, tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh pengasingan sosial akibat wabak itu dan ia mengekang keupayaan orang ramai untuk bekerja, mendapatkan sokongan daripada orang tersayang dan membabitkan diri dalam komuniti mereka.

Keletihan dilaporkan menjadi pencetus utama yang menjurus kepada kejadian membunuh diri dalam kalangan pekerja kesihatan.

"Maklumat yang kami ada sekarang mengenai kesan COVID-19 terhadap kesihatan mental hanya sedikit.

"Semua negara perlu memiliki kesedaran untuk memberi lebih perhatian kepada masalah mental dan memberi sokongan lebih baik kepada mereka," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Ringkasan WHO itu turut memaklumkan bahawa golongan muda yang berdepan masalah kesihatan mental akibat COVID-19, berisiko untuk membunuh diri serta tingkah laku yang boleh mencederakan diri.

Golongan wanita paling terjejas berbanding lelaki dan individu yang yang mempunyai sejarah masalah kesihatan seperti asma, kanser atau jantung, berkemungkinan mengalami gejala gangguan mental apabila dijangkiti COVID-19. - BERNAMA

Berita Harian X