X
Isnin, 6 Disember 2021 | 8:47pm
Foto hiasan
Foto hiasan

100 kucing mati dalam rumah pesara warga Perancis

NICE: Kira-kira 100 ekor bangkai kucing ditemui dalam sebuah rumah didiami pesara di selatan Perancis.

Sukarelawan persatuan perlindungan haiwan pada mulanya dimaklumkan oleh anak buah pesara berkenaan yang memasuki kediaman terbabit, semalam.

Pesara lelaki itu kemudian dibawa ke hospital, dekat Nice, selepas anak buahnya terkejut dengan penemuan timbunan bangkai kucing yang kebanyakannya disimpan dalam plastik yang ditutup rapi atau balang kayu, lapor akhbar Nice-Matin.

Selain kucing yang dijumpai di dalam dan sekeliling rumah, bangkai tupai, tikus serta rahang anjing juga ditemui.

Lebih 20 kucing yang tidak mendapat makanan secukupnya diselamatkan dari rumah terbabit dan diserahkan kepada doktor veterinar atau pusat perlindungan.

"Berdasarkan keadaannya, kebanyakan kucing sudah mati apabila ia diletakkan di dalam kotak berkenaan.

"Tetapi, sekurang-kurangnya dua ekor masih hidup ketika dikunci di dalam kotak," kata Presiden La Tribu du Fourmilier, Philippe Desjacques.

Bangkai kucing yang tidak sempurna ditemui berada di kerusi sofa dekat ruang tamu, sebahagiannya dimakan oleh kucing lain.

Desjacques berkata, pesara itu berkemungkinan menderita daripada sindrom Noah yang lazimnya dikaitkan dengan perilaku menyimpan haiwan dalam jumlah yang banyak kerana dihimpit masalah keseorangan, tanpa berupaya menjaga kesemua haiwan berkenaan.

Katanya, persatuan perlindungan haiwan akan memfailkan pertuduhan jenayah terhadap pesara berkenaan kerana kecuaian dan kegagalan menguruskan haiwan. - AFP

Berita Harian X