Khamis, 14 Oktober 2021 | 7:38am
Anggota polis Norway melakukan sekatan di lokasi penyerang memanah orang awam. FOTO AFP
Anggota polis Norway melakukan sekatan di lokasi penyerang memanah orang awam. FOTO AFP

5 maut, 2 cedera kena panah di Norway

KONGSBERG, Norway: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memanah orang awam yang menyebabkan lima maut manakala dua lagi cedera, semalam.

Pegawai polis tempatan, Oyvind Aas berkata, motif sebenar serangan di beberapa lokasi di pusat bandar Kongsberg itu dalam siasatan dan serangan itu dilakukan seorang penyerang.

Katanya, setakat ini pihak berkuasa tidak bercadang mengeluarkan amaran keganasan susulan kejadian itu.

"Lima orang maut dan dua yang cedera sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital namun mereka dalam keadaan stabil.

"Salah seorang yang cedera adalah pegawai polis tidak bertugas, yang berada di sebuah kedai di salah satu lokasi berkenaan.

"Lelaki terbabit sudah ditahan polis dan berdasarkan maklumat kami, hanya seorang saja yang bertanggungjawab dalam serangan itu.

"Untuk mengungkap kejadian ini, tidak dapat dipastikan adakah ini serangan pengganas. Suspek belum disoal siasat dan masih terlalu awal untuk menjelaskan motifnya," katanya pada sidang media.

Sementara itu, seorang jurucakap, Martin Bernsen menyatakan pihak perisikan Norway, PST kini dalam situasi berjaga-jaga.

"Ia adalah amaran setakat ini," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan motif keganasan.

Polis dikatakan membawa suspek ke sebuah balai polis berdekatan bandar Drammen, bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengenai identiti suspek.

Kawasan sekitar serangan turut ditutup dan polis menasihatkan penduduk tidak keluar rumah.

Perdana Menteri, Erna Solberg yang jawatannya akan tamat beberapa hari menyatakan kejadian itu mengejutkan semua pihak. - AFP

Berita Harian X