Khamis, 16 September 2021 | 7:02pm
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mengadakan sidang media di Montreal, Quebec menjelang hari mengundi pilihan raya umum negara itu pada 20 September ini. - Foto AFP
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mengadakan sidang media di Montreal, Quebec menjelang hari mengundi pilihan raya umum negara itu pada 20 September ini. - Foto AFP

Golongan anti vaksin ganggu kempen pilihan raya Kanada

RICHMOND: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mempertahan tindakannya menempelak seorang penunjuk perasaan yang mengganggu kempen pilihan rayanya bersama isteri, Sophie Gregoire.

Isnin lalu seorang lelaki dalam kumpulan anti vaksin COVID-19 berulang kali mencelah mengganggu ucapannya dan membaling batu selain menghina Gregorie menggunakan kata lucah, membuatkan Trudeau hilang sabar.

Ketika itu, pemimpin terbabit sedang membuat persiapan bagi satu wawancara di kawasan terbuka berdekatan sebuah hospital menjelang pengundian pada 20 September ini.

Tindakan itu mendorong Trudeau menempelaknya secara terbuka dengan mengesyorkan lelaki terbabit perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Kumpulan penunjuk perasaan anti vaksin itu lebih sudah berkumpul lebih awal di luar hospital terbabit bagi membantah mandat COVID-19 dan keperluan membuktikan vaksinasi untuk bergerak bebas.

Trudeau berkata beliau terbuka menerima teguran berhubung tindakannya atau dasar kerajaan mahupun keputusan kerajaan yang tidak popular dalam kalangan umum.

"Bagaimanapun, lelaki berkenaan menyasarkan keluarga saya, dia menyuarakan kebencian, ungkapan yang membenci wanita, mengenai isteri saya... setiap orang ada batasnya (kesabaran)," katanya.

Trudeau memutuskan mengadakan pilihan raya umum dua tahun lebih awal daripada yang dijadualkan, sebagai satu pungutan suara ke atas pemerintah parti Liberal.

Beliau mahu mendapatkan maklum balas mengenai prestasi pentadbirannya menangani pandemik COVID-19, yang setakat ini membuatkan beliau bergelut untuk mengatasi rasa tidak senang pengundi yang menolak strateginya.

Dengan hanya tinggal enam hari untuk mengundi, nada kempen kini berubah menjadi negatif dan berbentuk serangan.

Isnin lalu, Trudeau menuduh pesaing utamanya, ketua Parti Konservatif, Erin O'Toole, cuba menarik sokongan golongan anti vaksinasi.

O'Toole pula menggambarkan Trudeu sebagai seorang yang gemar berpesta dan dibelenggu pelbagai skandal tetapi masih mengekalkan kuasa.

Laporan media utama Kanada, CTV News, kelmarin mendapati parti-parti persekutuan mendahului dalam kedudukan agak seimbang dengan tinjauan terbaru menunjukkan Parti Liberal Kanada mendahului tipis Parti Konservatif dengan satu peratus.

Tinjauan agensi kaji selidik Kanada, Nick Nanos, yang dilakukan bagi syarikat media CTV News dan Globe and Mail, mendapati Parti Liberal meraih 32.3 peratus sokongan warga Kanada diikuti Konservatif dengan 31.2 peratus.

Data undi terbaru, yang dibentangkan kelmarin juga menunjukkan Parti New Democrat (NDP) meraih 18.9 peratus sokongan.

Parti Rakyat Kanada (PPC) mendahului parti serpihan lain dengan 6.7 peratus sokongan, diikuti Bloc Quebecois (6.4 peratus) dan Parti Hijau (3.8 peratus).

Dari segi sokongan buat pemimpin parti, Trudeau mengekalkan kedudukan sebagai pilihan utama rakyat Kanada untuk jawatan perdana menteri, dengan 30.8 peratus sokongan, diikuti O'Toole dengan 29.5 peratus.

Ketua NDP, Jagmeet Singh, mengekori mereka dengan 17.5 peratus sokongan. - AGENSI

Berita Harian X