Jumaat, 2 Julai 2021 | 11:43am
Gambar hiasan. Majistret Perancis buka siasatan dakwaan syarikat itu yang menjana keuntungan daripada kerja buruh paksa membabitkan etnik Uighur di China.
Gambar hiasan. Majistret Perancis buka siasatan dakwaan syarikat itu yang menjana keuntungan daripada kerja buruh paksa membabitkan etnik Uighur di China.

Syarikat pakaian terkemuka guna buruh paksa disiasat

PARIS: Majistret Perancis membuka siasatan ekoran dakwaan empat syarikat fesyen termasuk Uniqlo dan Zara menjana keuntungan hasil kerja buruh paksa membabitkan etnik minoriti Uighur di China, menurut sumber kehakiman semalam.

Majistret di pejabat pendakwa raya anti-keganasan nasional di sini, menyiasat dakwaan syarikat multinasional yang terbabit dengan jenayah kemanusiaan, menurut sumber yang mengesahkan laporan di laman web penyiasatan Mediapart.

Kes berdasarkan aduan yang dilaporkan pada April lalu, oleh kumpulan anti rasuah Shera, Kempen Clean Clothes cawangan Perancis dan Institut Uyghur Eropah termasuk seorang wanita Uighur yang pernah dimasukkan ke sebuah kem di Xinjiang, China.

Pengadu mendakwa Inditex, pemilik syarikat Zara dan jenama terkemuka lain, Uniqlo, kumpulan fesyen Perancis, SMCP dan pengeluar kasut Skechers kerana menggunakan kapas yang dihasilkan di wilayah Xinjiang.

Kumpulan hak asasi percaya sekurang-kurangnya satu juta etnik Uighur dan minoriti Islam lain dipenjarakan di kem yang terletak di wilayah Xinjiang, di mana China didakwa melakukan pemandulan wanita dan buruh paksa.

Amerika Syarikat (AS) menyifatkan 'penghapusan bangsa' dilakukan terhadap etnik Uighur dan minoriti Islam lain di wilayah berkenaan.

China menolak semua dakwaan sambil menegaskan dasar Beijing di Xinjiang adalah perlu untuk menangani ekstremisme.

AS mengumumkan larangan import terhadap segelintir syarikat yang beroperasi di Xinjiang termasuk pengeluar panel solar, Hoshine Silicon Industri.

Tahun lalu, beberapa jenama terkemuka termasuk Uniqlo, H&M, Nike dan Adidas pernah mengumumkan mereka akan berhenti membeli kapas dari rantau berkenaan, mendorong gerakan boikot di China.

Inditex mempertikai dakwaan syarikatnya menggunakan kapas dari Xinjiang.

"Kumpulan ini mempunyai kawalan kebolehjejakan yang ketat yang memungkinkan kami untuk menentukan bahawa tuduhan dalam aduan itu tidak berasas," kata seorang wakil syarikat itu. - AFP

Berita Harian X