Sabtu, 16 Januari 2021 | 12:12am
Rutte yang menunggang basikal tiba di Istana Huis ten Bosch, hari ini. - Foto AFP
Rutte yang menunggang basikal tiba di Istana Huis ten Bosch, hari ini. - Foto AFP

Kerajaan Belanda terbubar

THE HAGUE: Kerajaan Belanda diterajui Perdana Menteri, Mark Rutte hari ini, meletak jawatan susulan skandal kebajikan kanak-kanak yang membawa ancaman kepada ketidakstabilan politik, ketika negara itu berdepan wabak COVID-19.

Ribuan ibu bapa didakwa secara salah oleh pihak berkuasa Belanda kerana tidak sengaja menuntut elaun anak, dengan kebanyakan mereka terpaksa membayar balik sejumlah besar wang yang akhirnya memusnahkan kewangan mereka.

Perdana Menteri Belanda menunggang basikal selepas sidang media perletakan jawatan Kabinetnya, hari ini. - Foto AFP
Perdana Menteri Belanda menunggang basikal selepas sidang media perletakan jawatan Kabinetnya, hari ini. - Foto AFP

Sebahagian ibu bapa menjadi sasaran penyiasatan pegawai cukai kerana mempunyai dua kewarganegaraan, juga mengundang kritikan berterusan mengenai isu perkauman di Belanda.

Rutte, seorang pemimpin paling lama berkhidmat di Eropah, berkuasa sejak 2010, berkata Kabinetnya akan berperanan sebagai kerajaan sementara bagi memantau pemulihan COVID-19 hingga pilihan raya pada pertengahan Mac.

"Bebanan tugas berakhir di sini. Kami berpandangan hanya tanggungjawab bersama perlu dipertahan, jika keseluruhan sistem gagal.

"Ini membawa kepada kesimpulan bahawa saya baru saja menasihatkan raja supaya seluruh Kabinet meletakkan jawatan.

"Kedaulatan undang-undang perlu melindungi rakyatnya daripada kerajaan sangat berkuasa, dan di sinilah kesilapan paling besar," katanya pada sidang media selepas mesyuarat krisis Kabinet gabungan empat parti di The Hague.

Rutte mempertahan keputusan peletakan jawatan ketika Belanda berusaha membanteras pandemik COVID-19, selain negara itu berdepan lonjakan kes varian baharu pertama kali ditemui di Britain.

"Perjuangan melawan COVID-19 masih diteruskan," kata Rutte sambil menjelaskan Kabinet sementara akan melaksanakan tindakan perlu demi kepentingan negara.

Undian mendapati Parti Kebebasan dan Demokrasi mungkin mendahului pada pilihan raya berikutnya, mencalonkan Rutte bagi penggal keempat, sejak 2010. - AFP

Berita Harian X