Khamis, 14 Januari 2021 | 12:00am

COVID-19: Varian baharu dari Britain sudah menular ke 50 negara - WHO

GENEVA: Mutasi baharu COVID-19 yang dikesan di Britain telah menular ke 50 negara, wilayah dan kawasan serata dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selain itu, WHO memaklumkan, varian baharu virus berkenaan yang dikesan di Afrika Selatan pula sudah merebak ke 20 negara, wilayah dan kawasan serata dunia, manakala jenis ketiga yang ditemui di Jepun memerlukan siasatan lanjut.

"Semakin banyak virus SARS-CoV-2 merebak, semakin banyak peluang untuk ia berubah.

"Kadar jangkitan yang tinggi bermakna kita harus menjangka lebih banyak varian untuk muncul," katanya dalam satu laporan.

SARS-CoV-2 adalah virus yang mengakibatkan penyakit COVID-19.

Menurut WHO, berdasarkan hasil siasatan awal dan berterusan di Afrika Selatan, ada kemungkinan varian baharu 501Y.V2 memiliki kebolehjangkitan lebih tinggi berbanding penularan sebelum ini.

"Walaupun varian baharu ini dilihat tidak mengakibatkan keadaan penyakit lebih teruk, peningkatan jangkitannya yang pantas memberikan tekanan terhadap sistem kesihatan," menurut WHO.

Dalam pada itu, WHO berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Jepun pada 9 Januari lalu bahawa satu lagi varian baharu dikesan pada empat pengembara tiba dari Brazil membabitkan dua dewasa dan dua kanak-kanak.

Kelmarin, WHO mengadakan mesyuarat dengan 1,750 saintis antarabangsa untuk berbincang mengenai kemunculan varian baharu COVID-19.

"Matlamat bersama kami ialah mewujudkan mekanisme global untuk segera mengenal pasti dan mengkaji varian serta memahami kesannya terhadap usaha mengawal penyakit," kata Ketua Penyelidikan dan Pembangunan WHO, Ana Maria Henao Restrepo.

WHO menjelaskan, kemunculan varian baharu sekali gus menunjukkan pentingnya untuk mempertingkat kapasiti diagnostik dan pengesanan virus itu secara sistematik.

"Penyelidikan dijalankan secara berterusan bagi mengenal pasti kesan varian baharu terhadap jangkitan, keparahan penyakit dan potensi impak ke atas vaksin, terapeutik serta diagnostik," menurut WHO. - AFP

Berita Harian X