Sabtu, 2 Januari 2021 | 8:16am
 Iran berhasrat pengayaan uranium kepada 20 peratus kadar ketulenan di kemudahan utamanya di Fordow. -Foto fail AFP
Iran berhasrat pengayaan uranium kepada 20 peratus kadar ketulenan di kemudahan utamanya di Fordow. -Foto fail AFP

Iran berhasrat tingkat pengayaan uranium kepada 20 peratus

VIENNA: Iran berhasrat meningkatkan lagi pengayaan uraniumnya kepada 20 peratus kadar ketulenan, melebihi tahap ditetapkan dalam Perjanjian Vienna 2015, menurut pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perkara itu dimaklumkan Iran kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

"Iran memaklumkan kepada agensi berhubung hasratnya untuk meningkatkan keupayaan pengayaan urainium negara itu kepada 20 peratus di kemudahan utamanya di Fordow.

"Bagaimanapun surat bertarikh 31 Disember itu tidak menetapkan bila aktiviti pengayaan terbabit akan bermula," menurut jurucakap IAEA.

Duta Russia ke IAEA, Mikhail Ulyanov melaporkan maklumat terbabit menerusi Twitter dengan memetik laporan yang dikemukakan oleh Ketua IAEA, Rafael Grossi kepada Lembaga Gabenor.

Seorang diplomat di Vienna memberitahu tindakan Iran itu bakal memberi tamparan hebat apabila Tehran berterusan membalas tindakan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) dengan meningkatkan keupayaan aktiviti nuklearnya.

Menurut laporan terbaharu yang disiarkan agensi PBB pada November tahun lalu, Tehran meningkatkan keupayaan program pengayaan uraniumnya secara besar-besaran berbanding had ditetapkan Perjanjian Veinna iaitu 3.67 peratus namun tidak melebihi tahap 4.5 peratus walaupun masih mematuhi pemeriksaan ketat oleh IAEA.

Bagaimanapun, keadaan mula berubah selepas kejadian pembunuhan pakar fizik Iran, Mohsen Fakhrizadeh pada hujung November lalu yang didakwa dilakukan Israel.

Susulan kejadian itu, Tehran berikrar akan bertindak balas, malah Parlimennya meluluskan undang-undang kontroversi membenarkan penyimpanan sekurang-kurangnya 120 kilogram uranium diperkaya pada tahap 20 peratus dan menamatkan pemeriksaan oleh IAEA. - AFP

Berita Harian X