Khamis, 31 Disember 2020 | 8:09pm
Britain menjadi negara pertama yang meluluskan vaksin kos rendah yang sebahagiannya dibangunkan Oxford University dan AstraZeneca. - Foto AFP
Britain menjadi negara pertama yang meluluskan vaksin kos rendah yang sebahagiannya dibangunkan Oxford University dan AstraZeneca. - Foto AFP

UK lulus vaksin kos rendah dibangunkan Oxford University

LONDON: Britain menjadi negara pertama yang meluluskan vaksin kos rendah yang sebahagiannya dibangunkan Oxford University ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia, dengan Jerman merekodkan jumlah kematian harian tertinggi.

Malam Tahun Baharu juga menandakan tahun pertama sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pertama kali menyebut pneumonia misteri di China, kemudian dikenali COVID-19 yang sudah membunuh 1.79 juta masyarakat dunia serta menghancurkan ekonomi global yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Ketika ini, selepas vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna, calon vaksin dibangunkan Oxford University dan firma ubat-ubatan AstraZeneca menjadi yang ketiga mendapat persetujuan di negara Barat.

Britain, negara yang teruk dilanda virus baharu yang membimbangkan dan kini berpisah daripada Kesatuan Eropah susulan Brexit, turut memberikan lampu hijau terhadap vaksin COVID-19.

"Kami sedang bergerak untuk memberikan vaksin kepada seramai orang dengan secepat mungkin," umum Perdana Menteri Britain, Boris Johhson dalam twitter.

Tidak seperti vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna, vaksin daripada AstraZeneca dan Oxford University tidak memerlukan penyimpanan dalam suhu yang sangat rendah.

Ia boleh disimpan, dihantar dan dikendalikan dalam suhu peti sejuk biasa, sekali gus menjadikannya lebih mudah dan murah, terutama untuk dikendalikan di negara tidak berkemampuan.

Selepas Britain, Argentina mengambil langkah sama meluluskan vaksin itu, dan Mexico mempunyai perjanjian untuk mengagihkan vaksin di Amerika Latin.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan mereka tidak akan segera mengikut langkah itu United Kingdom (UK) itu.

Ketua Penasihat Operasi Warp Speed (Program Vaksin AS diterajui tentera), Moncef Slaoui, menjangkakan kelulusan vaksinnya dicapai 'pada April'.

Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan agensi kesihatan Britain tetapi menyatakan AS sudah menjalankan ujian dan penilaiannya sendiri.

Slaoui turut menyuarakan harapan bahawa vaksin Janssen yang dihasilkan oleh Johnson & Johnson, yang berbeza dengan 'suntikan' yang diluluskan pada awalnya, iaitu hanya memerlukan satu dos sedia diluluskan di AS pada pertengahan Februari.

Russia dan China juga mengakui mereka membangunkan vaksin COVID-19 dan sudah mula mengedarkannya.

Syarikat farmasi gergasi China, Sinopharm semalam menyatakan bahawa ujian Fasa 3 calon vaksinnya menunjukkan keberkesanan 79 peratus, lebih rendah daripada 90 peratus yang dicapai oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Firma itu sudah memohon kepada pegawai selia ubat China untuk mendapatkan persetujuan.

Beijing berusaha mendapatkan kepercayaan antarabangsa terhadap vaksinnya, namun terhalang kerana kurangnya ketelusan data dan juga kritikan terhadap pengendalian penularan virus itu di bandar raya Wuhan, China. - AFP

Berita Harian X