Jumaat, 25 Disember 2020 | 8:59am
 Dakwaan hidroksiklorokuin mampu mengubati COVID-19 menjadi punca saintis wanita menjadi mangsa buli siber
Dakwaan hidroksiklorokuin mampu mengubati COVID-19 menjadi punca saintis wanita menjadi mangsa buli siber

3 saintis wanita bangkit lawan buli siber

PARIS: Tiga saintis wanita bangkit menentang buli siber yang kini hingga ke peringkat membabitkan ancaman kematian.

Ahli farmakologi dari Switzerland, Caroline Samer dan pakar penyakit berjangkit masing-masing dari Switzerland dan Perancis, Alexandra Calmy serta Karine Lacombe bersuara mengenai perkara itu berikutan menerima ancaman selepas mendedahkan kelebihan ubat antimalaria hidroksiiklorokuin untuk merawat COVID-19.

"Wanita lebih berisiko berbanding lelaki terhadap ancaman buli siber yang menyasarkan untuk merendahkan kebolehan dan pengetahuan kami," kata mereka melalui tulisan yang disiarkan di The Lancet, pada Rabu.

Kenyataan mereka itu merujuk artikel saintifik yang melaporkan mengenai penerimaan ancaman kematian dan gangguan siber di Brazil, Perancis serta Switzerland selepas penerbitan kajian yang tidak menunjukkan keberkesanan klinikal bagi hidroksiklorokuin.

Mereka berkata, semua ancaman yang disasarkan kepada penyelidik dan doktor harus ditentang dan ditolak secara sebulat suara oleh semua komuniti saintifik.

"Kami menyokong sepenuhnya rakan sekerja kami dan prihatin dengan apa yang dilaporkan... dan kami sendiri menjadi mangsa membabitkan pelbagai peringkat ancaman.

"Ia termasuklah kenyataan berunsur fitnah keterlaluan, kebencian, dan serangan berorientasikan jantina.

"Semua serangan ini berangkaian dengan campur tangan masyarakat di media, pada ketika kami berusaha untuk menerangkan secara rasional mengenai pengetahuan semasa terhadap keberkesanan dan keselamatan hidroksiklorokuin dalam rawatan dan pencegahan COVID-19," tulis mereka.

Ubat itu, yang menjadi subjek perdebatan hangat terutamanya di Perancis di mana ia diperjuangkan oleh profesor perubatan yang berpangkalan di Marseille, Didier Raoult, dan sudah lama digunakan bagi mengubati malaria, rheumatoid arthritis dan lupus.

Pada Jun, pasukan percubaan pemulihan yang dipimpin Britain menyatakan hidroksiklorokuin tidak memberi sebarang kesan untuk mengurangkan kematian akibat COVID-19, iaitu satu penemuan yang turut disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - AFP

Berita Harian X