Jumaat, 4 September 2020 | 12:28pm
 Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell. - Foto AFP
Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell. - Foto AFP

EU ancam sekatan terhadap Russia susulan Navalny diracun

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran mengenakan sekatan terhadap Russia, sementara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan memanggil mesyuarat membincangkan penemuan Jerman bahawa pemimpin pembangkang, Alexei Navalny diracun agen saraf era Soviet, ketika Kremlin menafikan sekeras-kerasnya.

Pemimpin Barat menuntut jawapan daripada Moscow selepas Berlin pada Rabu mengatakan bahawa terdapat 'bukti jelas' pengkritik Kremlin berusia 44 tahun itu menderita diracun agen saraf, Novichok.

Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell meminta Moscow untuk bekerjasama dalam siasatan antarabangsa mengenai insiden itu sambil menjelaskan blok 27 negara itu tidak akan menolak sekatan.

"Brussels berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk melalui langkah-langkah sekatan," kata Borrell dalam satu kenyataan.

Navalny, antara pengkritik paling lantang terhadap kepemimpinan Presiden Russia, Vladimir Putin, jatuh sakit dalam penerbangan bulan lalu dan dirawat di hospital Siberia sebelum dibawa ke sebuah hospital di Berlin.

Dakwaan Jerman bahawa negara itu terdedah kepada Novichok - bahan sama yang digunakan terhadap bekas ejen Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya di bandar Salisbury dua tahun lalu - mendorong kecaman dan tuntutan siasatan yang meluas.

"EU mengutuk sekeras-kerasnya cubaan membunuh," kata Borrell.

EU menegaskan penggunaan senjata kimia sama sekali tidak boleh diterima dalam apa-apa keadaan dan ia satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan standard hak asasi manusia antarabangsa.

"Kerajaan Russia mesti melakukan yang terbaik untuk menyiasat jenayah ini dengan teliti dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Kekebalan tidak boleh dan tidak akan dikompromi, " kata Borrell.

EU mahu Russia bekerjasama dengan Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), yang berpusat di Den Haag, untuk memastikan siasatan antarabangsa yang tidak memihak untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.

Kes Navalny diracun adalah insiden terbaru dalam siri cubaan pembunuhan terhadap pengkritik Kremlin.

Russia menafikan ada bukti bahawa Navalny diracun dan jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memaklumkan bahawa Berlin tidak memberikan sebarang bukti kepada Moscow. - AFP.

Berita Harian X