Selasa, 14 Julai 2020 | 2:29pm
FOTO AFP
FOTO AFP

Korban 3 penyakit pembunuh boleh bertambah ratusan ribu - Kajian

PARIS: Ratusan ribu kematian tambahan akibat HIV, batuk kering dan malaria boleh berlaku di negara miskin berikutan wabak COVID-19 telah mengganggu perkhidmatan kesihatan penting serta akses kepada rawatan menyelamatkan nyawa, demikian amaran diberikan dalam penyelidikan baharu, hari ini.

Pasukan penyelidik terbabit menegaskan bahawa adalah penting untuk kerajaan memastikan rakyat yang menghidap tiga penyakit pembunuh itu terus memperoleh akses kepada diagnosis serta rawatan walaupun sistem kesihatan begitu terkesan dengan pandemik COVID-19.

HIV, batuk kering dan malaria membunuh hampir tiga juta pesakit setiap tahun, dengan sebahagian besarnya di negara berpendapatan rendah atau sederhana walaupun terdapat kaedah pencegahan serta rawatan yang murah dan berkesan.

Puluhan negara melaporkan semakin ramai orang mengelak daripada pergi ke fasiliti penjagaan kesihatan kerana bimbang dijangkiti wabak COVID-19, manakala bekalan ubat-ubatan seperti 'anti-retroviral' untuk rawatan HIV turut terkesan.

"Di negara yang dibebani jumlah tinggi kes malaria dan epidemik tibi serta HIV, gangguan jangka pendek sekalipun berupaya memberi kesan sangat buruk terhadap jutaan pesakit yang bergantung pada program kawalan dan rawatan penyakit berkenaan," kata Timothy Hallett daripada Imperial College London yang juga pengarang bersama kertas kajian terbabit.

Melalui kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Kesihatan Global Lancet, pasukan berkenaan meneliti senario empat dasar berbeza yang mempengaruhi penularan COVID-19.

Mereka kemudian menggabungkan model jangkitan HIV, batuk kering dan malaria bagi menganggarkan kesan terhadap perkhidmatan kesihatan dalam senario berbeza itu bagi tempoh lima tahun.

Kesan terbesar diunjurkan daripada gangguan terhadap 'anti-retroviral' bagi pesakit HIV, dengan beberapa bahagian di selatan Afrika mengalami kenaikan 10 peratus korban HIV berbanding tanpa COVID-19.

Dalam senario terburuk, saringan dan rawatan untuk batuk kering - masih merupakan penyakit berjangkit paling banyak meragut nyawa di dunia - boleh menyaksikan kematian meningkat 20 peratus di selatan Afrika.

Kematian akibat malaria pula boleh melonjak sebanyak 36 peratus jika hanya sedikit usaha dilakukan untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negara yang mencatatkan bilangan kes tinggi.

Pengarang bersama kajian itu, Alexandra Hogan, berkata pandemik terbabit berisiko memusnahkan banyak pencapaian dalam usaha mengawal malaria sejak dekad lalu.

"Rutin langkah pencegahan mesti diutamakan, memastikan kempen pengagihan kelambu nyamuk serta rawatan (pencegahan) seperti pengedaran ubat secara besar-besaran, diteruskan," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X