Ahad, 14 Jun 2020 | 6:48am

Empat negara EU meterai perjanjian vaksin COVID-19

BERLIN: Jerman, Perancis, Itali dan Belanda menandatangani perjanjian pada Sabtu, bersama kumpulan farmaseutikal AstraZeneca, bagi menjamin bekalan 300 juta dos vaksin COVID-19, umum kerajaan Jerman pada hari yang sama.

Semua empat negara itu memeterai perjanjian bersama kumpulan berkenaan, yang ditubuhkan pada 1999, hasil gabungan syarikat Sweden, Astra dan perusahaan British, Zeneca, khusus membekalkan vaksin kepada negara anggota Kesatuan Eropah (EU), sebaik sahaja ia ditemui, kata Menteri Kesihatan Jerman.

AstraZeneca menjalinkan kerjasama perniagaan dengan Universiti Oxford di Britain, yang juga perintis projek berkenaan.

Firma itu terbabit dalam membangunkan secara berasingan rantaian bekalan seluruh dunia ketika ujian, dan memeterai perjanjian baharu awal bulan ini, bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dua kali ganda, kepada lebih dua juta dos.

"Perjanjian ini akan memastikan ratusan juta penduduk Eropah memperoleh akses terhadap vaksin oleh Universiti Oxford itu, sebaik diluluskan.

"Dengan rantaian bekalan Eropah yang akan segera memulakan pengeluaran, kami berharap untuk menjadikan vaksin ini boleh didapati secara meluas pada kadar segera," kata Ketua Eksekutif, Pascal Soriot dalam satu kenyataan.

Universiti Oxford memulakan ujian awal membabitkan ratusan sukarelawan pada April, dan kini meluaskan ia kepada 10,000 peserta.

Pembangunan vaksin itu dijangka berjaya disempurnakan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, kata sumber kerajaan Jerman.

Semua dos berkenaan, diramalkan berpotensi mencecah sehingga 400 juta perlu diedarkan kepada semua negara anggota yang mahu mengambil bahagian, berdasarkan kepada populasi penduduk masing-masing. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X