Selasa, 26 Mei 2020 | 6:49am

WHO tangguh ujian hidroksiklorokuin bagi rawatan virus

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghentikan sementara ujian klinikal hidroksiklorokuin sebagai rawatan berpotensi untuk COVID-19.

Keputusan itu dibuat selepas sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet minggu lalu, menunjukkan bahawa ubat itu dapat meningkatkan risiko kematian di kalangan pesakit COVID-19, kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media maya.

Tedros mengatakan kumpulan eksekutif yang disebut Solidarity Trial, di mana ratusan hospital di seluruh dunia mendaftarkan pesakit untuk menguji beberapa kemungkinan rawatan untuk COVID-19, telah menangguhkan percubaan menggunakan ubat itu sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kumpulan eksekutif berkenaan sudah menghentikan sementara penggunaan hidroksiklorokuin dalam percubaan rawatan dan data keselamatan kini diselia oleh Lembaga Pemantauan Keselamatan Data.

"Bahagian percubaan yang lain berlanjutan," kata Tedros.

Hidroksiklorokuin biasanya digunakan untuk merawat arthritis tetapi tokoh masyarakat termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menyokong ubat itu sebagai rawatan virus, mendorong pemerintah untuk membeli secara besar-besaran.

Malah, Trump turut mengakui sudah mengambil ubat berkenaan lebih semingu sebagai usaha mencegah jangkitan COVID-19.

Ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan memberitahu taklimat pada Isnin, Percubaan Solidariti hanya melihat kesan hidroksiklorokuin dan bukan klorokuin.

Keputusan menangguhkan pendaftaran untuk percubaan menggunakan hidroksiklorokuin adalah 'langkah sementara', katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X