Jumaat, 22 Mei 2020 | 8:25pm

COVID-19: Russia rekod jumlah kematian harian tertinggi

MOSCOW: Russia merekodkan kematian harian tertinggi iaitu sebanyak 150 hari ini, walaupun jumlah kes jangkitan baharu berada di bawah 9,000 kes untuk tiga hari berturut-turut.

Pegawai kesihatan melaporkan sebanyak 3,249 kematian dan 326,448 kes, iaitu jumlah jangkitan kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan rekod dari kerajaan, sebanyak 8,894 kes terbaru dalam tempoh 24 jam terakhir dilaporkan, manakala 7,144 kes pula sembuh.

Sumber daripada agensi berita semalam melaporkan, pemimpin diktator wilayah Chechnya di selatan Russia, Ramzan Kadyrov, menerima rawatan selepas disyaki dijangkiti COVID-19, walaupun pegawainya tidak mengesahkan perkara itu.

Antara kes COVID-19 berprofil tinggi adalah membabitkan Perdana Menteri, Mikhail Mishustin, dilaporkan kembali bertugas minggu ini selepas menerima rawatan di hospital.

Secara keseluruhannya, 99,825 individu di Russia tidak lagi dijangkiti oleh virus itu, menurut pegawai rasmi kesihatan hari ini.

Pihak berkuasa mengatakan bahawa situasi kini semakin stabil dan setengah juta pekerja industri dan pembinaan dibenarkan kembali bekerja di Moscow.

Russia merekodkan kematian lebih sedikit berbanding negara lain yang dilanda teruk oleh wabak itu, tetapi pihak pengkiritik menyatakan keraguan terhadap kadar kematian rasmi yang rendah dan menuduh pihak berkuasa tidak melaporkan perkara sebenar bagi menurunkan skala krisis.

Pegawai rasmi kesihatan Russia berkata, salah satu sebab jumlah kematian lebih rendah berbanding AS dan sebahagian Eropah barat adalah hanya kematian disebabkan virus itu dilaporkan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X