Rabu, 20 Mei 2020 | 7:55pm
Tertuduh, Philip Manshaus, memasuki mahkamah di Sandvika, Norway pada hari terakhir perbicaraan. - Foto AFP
Tertuduh, Philip Manshaus, memasuki mahkamah di Sandvika, Norway pada hari terakhir perbicaraan. - Foto AFP

Pendakwa mohon hukuman penjara 21 tahun bagi penembak masjid Norway

OSLO: Pihak pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun terhadap penembak masjid Norway, yang turut membunuh adik perempuan tirinya.

Ekstremis berhaluan kanan, Philip Manshaus, 22, ditahan selepas melepaskan tembakan dalam masjid Al-Noor di pinggir bandar Oslo pada 10 Ogos lalu, di mana hanya terdapat tiga jemaah ketika itu dan tiada yang cedera.

Dia, yang melakukan serangan itu di bandar Baerum sambil memakai jaket kalis peluru dan topi keledar dipasang kamera padanya, menghadapi tuduhan membunuh dan melakukan keganasan.

Pendakwa, Johan Overberg, dalam kenyataan penutupnya, memberitahu mahkamah bahawa Manshaus sememangnya nampak sebagai seorang yang berbahaya.

"Tindakan Manshaus membunuh adik tirinya adalah dirancang dan didorong oleh motif perkauman.

"Serangan di masjid pula, ketika jemaah sedang bersedia untuk berbuka puasa, Manshaus mahu 'membunuh seramai mungkin umat Islam' dan langsung tidak menyesali perbuatannya," katanya.

Mayat adik tiri Manshaus yang berusia 17 tahun, Johanne Zhangjia Ihle-Hansen, ditemui di rumah mereka selepas kejadian itu, dengan empat kesan tembakan. Mangsa adalah anak angkat kepada teman wanita bapa Manshaus.

Norway tidak melaksanakan hukuman seumur hidup tetapi boleh menahan seseorang untuk tempoh yang tidak terhad sekiranya terbukti seseorang itu membahayakan masyarakat.

Manshaus setuju dengan fakta kes tetapi mengaku tidak bersalah dengan mendakwa tindakannya didorong oleh 'keperluan' untuk memastikan 'kemandirian kaum kulit putih'.

Dia juga mendakwa mendapat inspirasi daripada serangan masjid di Christchurch, New Zealand pada Mac 2019, di mana Brenton Tarrant membunuh 51 orang dalam serangan di dua masjid.

Tarrant pula mendakwa perbuatannya dipengaruhi warga Norway, Anders Behring Breivik, yang pada Julai 2011 mengakibatkan kematian 77 orang dalam serangan bom kereta berhampiran pejabat kerajaan di Oslo.

Dia juga didapati bersalah melepaskan tembakan rambang di kem belia Parti Buruh di pulau Utoya. - AFP

Berita Harian X