Rabu, 20 Mei 2020 | 3:21pm
Gambar fail Kapten Tom Moore bersama anugerah Guinness World Records kerana berjaya mengumpul dana paling banyak dengan berjalan untuk tujuan amal - Foto AFP
Gambar fail Kapten Tom Moore bersama anugerah Guinness World Records kerana berjaya mengumpul dana paling banyak dengan berjalan untuk tujuan amal - Foto AFP

Kumpul dana RM 1.74 juta, veteran perang terima pingat Kesatria

LONDON: Veteran askar British, Kapten Tom Moore, akan dianugerahkan pingat kesatria kerana mengumpul dana hampir AS$40 juta (RM1.74 juta) untuk badan amal penjagaan kesihatan kebangsaan (NHS), bagi menangani krisis COVID-19.

Perdana Menteri Britain, Borris Johnson, menggelar veteran perang berusia 100 tahun itu sebagai 'beacon of light' ketika dunia bergelut dengan pandemik virus itu.

"Usaha mengumpul dana oleh Kolonel Tom berjaya memecah rekod, sekali gus memberi inspirasi kepada seluruh negara, beliau menjadi 'sinar dalam kegelapan' kepada kita ketika berdepan ancaman wabak COVID-19.

"Semua terharu dengan kisahnya dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih, beliau adalah harta negara," kata Johnson ketika mengumumkan pemberian pingat itu semalam.

Penganugerahan yang membawa gelaran 'Sir' itu akan dikurniakan secara rasmi oleh Ratu Elizabeth II.

Moore meraih dana itu dengan menyahut cabaran berjalan 100 pusingan di tamannya sebelum sambutan ulang tahun ke-100 beliau pada 30 April lalu.

Pada mulanya, Moore hanya berharap untuk meraih $1,200 (RM5,226), sebagai sumbangan kepada NHS dan ucapan terima kasih kerana merawatnya ketika menghidap kanser serta patah tulang pinggang.

Bagaimanapun, jumlah dana yang diperoleh meningkat berlipat kali ganda selepas usahanya mendapat perhatian pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Moore, yang dilahirkan di Keighley, West Yorkshire, dianugerahkan pangkat Kolonel Kehormat oleh Batalion Pertama Regimen Yorkshire, pada Perang Dunia Kedua. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X