Selasa, 19 Mei 2020 | 9:54pm

EU sokong WHO susulan ugutan Trump

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) menyokong usaha pelbagai hala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memerangi COVID-19, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengugut untuk bekukan dana kepada pertubuhan itu.

Jurucakap Kementerian Luar EU, Virginie Battu-Henriksson, berkata ini adalah masa untuk bersatu, bukannya menuding jari atau memperkecilkan kerjasama pelbagai hala bagi menangani pandemik global.

"EU menyokong WHO dalam usaha membendung dan mengurangkan penularan COVID-19, selain sudah menyediakan dana tambahan bagi usaha berkenaan," katanya.

EU pada persidangan tahunan Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) anjuran WHO hari ini, mengusulkan supaya 'penilaian saksama, bebas dan menyeluruh' dilakukan terhadap tindak balas antarabangsa memerangi COVID-19.

Perbezaan pandangan antara Brussels dan Washington itu bukan yang pertama kerana sebelum ini Trump pernah menuduh WHO terlalu rapat dengan China dan lambat bertindak balas terhadap penularan COVID-19.

Brussels mendesak siasatan bebas dibuat bagi mengenal pasti punca penularan wabak itu, selain mengetuai tindak balas antarabangsa dalam usaha pelbagai hala dan pengumpulan dana bagi penyelidikan membangunkan vaksin.

Semalam, pemimpin AS yang sudah membekukan dana kepada WHO turut mengugut akan membawa negara itu keluar dari WHO.

Beliau turut menyifatkan WHO sebagai 'boneka' China, sekali gus gagal berperanan mengendalikan krisis COVID-19 pada peringkat awal sehingga melarat menjadi pandemik global. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X