Isnin, 4 Mei 2020 | 7:06am
PEMANDU lori memakai topeng muka ketika ditemui di persimpangan Batrovci antara Serbia dan Croatia. - Foto AFP
PEMANDU lori memakai topeng muka ketika ditemui di persimpangan Batrovci antara Serbia dan Croatia. - Foto AFP

Serbia tamatkan perintah darurat, mulai minggu depan

BELGRADE: Serbia akan menamatkan perintah darurat terhadap wabak COVID-19, minggu depan selepas mendapati kadar jangkitan cukup perlahan, kata Presiden Aleksandar Vucic, semalam.

Penamatan darurat itu membabitkan penutupan sempadan dan lapangan terbang, perintah berkurung harian dan pada hujung minggu yang dilaksanakan sejak pertengahan Mac, harus disahkan oleh kerajaan pada Rabu, kata Vucic.

"Syarat telah dipenuhi ... kita tidak sepatutnya ada lagi perintah berkurung bermula Khamis," kata Vucic menerusi siaran di TV Pink.

Negara Balkan itu mengesahkan mencatat sebanyak 9,464 kes dengan 193 kematian dilaporkan akibat COVID-19, tetapi jangkitan menurun hingga di bawah lima peratus daripada ribuan orang yang diuji setiap hari, kata ahli epidemiologi.

Minggu depan, Serbia akan memulakan semula perkhidmatan bas dan kereta api manakala penerbangan komersial pula, pada akhir bulan ini.

Pusat membeli-belah, kafe dan restoran juga akan dibuka semula dengan syarat mereka menjaga penjarakan sosial.

Ahli Epidemologi yang juga anggota Jawatankuasa yang ditugaskan memerangi virus itu, Predrag Kon, berkata semua pihak perlu mengambil langkah menjaga kebersihan dan perubatan untuk mengelak penularan wabak itu yang dipercayai tetap akan berlaku.

"Perintah berkurung akan tamat, tetapi ia wabak itu akan tetap ada," katanya.

Kerajaan juga sudah membenarkan perniagaan kecil dibuka, mengehadkan waktu perintah berkurung pada waktu malam.

Untuk membantu dari segi ekonomi, yang menghadapi kemelesetan tahun ini, Belgrade juga memperkenalkan program sokongan 5.1 bilion euro (RM24.04 bilion) untuk perniagaan kecil. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X