Sabtu, 25 April 2020 | 6:47pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto AFP
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto AFP

COVID-19: PM Britain tertekan untuk perjelas pelan UK untuk kembali bekerja

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, dijangka kembali bekerja selepas pulih daripada jangkitan COVID-19, tatkala tekanan mengenai bagaimana kerajaannya dapat mengeluarkan Britain daripada perintah sekatan pergerakan semakin meningkat.

Johnson, 55, pulih sepenuhnya di kediaman di luar London iaitu Checkers, sejak keluar daripada hospital pada 12 April lalu dan dilaporkan sudah bercakap dengan Ratu Elizabeth II dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Trump berkata, Johnson kelihatan begitu bertenaga dan bersedia untuk kembali bekerja.

Sementara itu, The Daily Telegraph, bekas majikan Johnson, mencadangkan beliau kembali bekerja pada Isnin ini dan mengadakan taklimat dengan menteri Kabinet secara individu, tetapi Setiausaha Kesihatannya, Matt Hancock dilihat lebih berhati-hati terhadap kesihatan Johnson.

Sebelum ini, Setiausaha luarnya, Dominic Raab, mengambil alih tugas Johnson, namun dalam masa yang sama turut memerlukan persetujuan daripada keseluruhan Kabinet dalam sebarang keputusan besar.

Dalam masa yang sama, Menteri Kanan, Michael Gove dan Menteri Kesihatan, Matt Hancock turut berkongsi beban ketika ketiadaan Johnson, selain berdepan dengan kritikan kolektif terhadap kekurangan kelengkapan pakaian perlindungan (PPE) dan ujian tidak menyeluruh terhadap barisan hadapan perubatan dan pekerja sosial.

Sementara itu, pemimpin pembangkang Parti Buruh, Keir Starmer, menuduh kerajaan terlalu lambat untuk melakukan perintah sekatan pergerakan, melakukan ujian dan juga keperluan perlindungan.

Justeru, Johnson juga dijangka dapat menerangkan dengan segera cadangannya untuk mengembalikan semula ekonomi serta dalam masa yang sama mengawal penyebaran virus itu.

Permintaan untuk keluar daripada situasi sekatan kawalan yang dilakukan ada 23 Mac dan dilanjutkan sehingga 16 April lalu terlalu banyak, namun menteri enggan untuk menyatakan secara umum bila ia akan berakhir.

Bekas pemimpin Tory, Iain Duncan Smith berkata, kerajaan perlu menyatakan segera memandangkan sesetengah perniagaan mula dibuka walaupun dilarang. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X