Isnin, 30 March 2020 | 3:06pm
Banner amaran orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial di taman awam di London. - Foto Reuters
Banner amaran orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial di taman awam di London. - Foto Reuters

COVID-19: Hospital UK uji alat bantuan pernafasan versi baharu

LONDON: Satu versi baharu alat bantuan pernafasan yang dapat membantu pesakit coronavirus (COVID-19) sedang dibangunkan dalam masa kurang seminggu oleh pasukan yang turut membabitkan Mercedes Formula One, dan ia sedang diuji di Hospital London.

Peranti Tekanan Positif Udara Berterusan (CPAP) sudah digunakan di China dan Itali bagi menyalurkan udara dan oksigen di bawah tekanan kepada paru-paru untuk membantu mereka bernafas tanpa memerlukan mereka untuk menggunakan ventilator, proses yang lebih invasif.

CPAP baru sudah diluluskan oleh pengawal selia yang berkaitan dan kini 100 mesin akan dihantar ke University College London Hospital (UCLH) untuk ujian, sebelum dilancarkan ke hospital lain.

Laporan dari Itali menunjukkan bahawa kira-kira 50 peratus pesakit yang diberikan CPAP tidak memerlukan mesin pengudaraan mekanikal invasif, termasuk membabitkan pesakit yang sedar, sekali gus membolehkan ventilator digunakan kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Peranti ini akan membantu menyelamatkan nyawa dengan memastikan ventilator yang sumbernya terhad, hanya digunakan untuk penyakit yang paling teruk.

"Kami berharap mereka akan memberi perbezaan besar kepada hospital-hospital di seluruh UK, seterusnya mengurangkan permintaan terhadap kakitangan dan katil rawat intensif, serta membantu pesakit pulih tanpa memerlukan ventilasi yang lebih invasif," kata Perunding Penjagaan Kritikal UCLH, Professor Mervyn Singer dalam satu kenyataan pada hari ini.

Alat bantuan pernafasan yang baharu itu dibangunkan oleh jurutera dan doktor di UCLH bersama dengan Mercedes-AMG High Performance Powertrains yang bekerja di hab MechSpace UCL untuk mengembalikan alat yang dapat dihasilkan dengan cepat.

Perkembangan peranti baharu yang mengambil masa kurang daripada 100 jam dari pertemuan awal hingga pengeluaran yang pertama. Pasukan yang turut terbabit ialah Oxford Optronix, sebuah syarikat kecil yang akan menghasilkan monitor oksigen untuk peranti CPAP. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X