Ahad, 29 March 2020 | 12:54pm
Petugas kesihatan mencuba topeng snorkeling yang sudah diubah suai di Hospital Erasme di Brussels, Belgium. - Foto AFP.
Petugas kesihatan mencuba topeng snorkeling yang sudah diubah suai di Hospital Erasme di Brussels, Belgium. - Foto AFP.

COVID-19: Topeng snorkeling diubah suai atasi kekurangan alat bantuan pernafasan

BRUSSELS: Ketika hospital berdepan krisis kekurangan alat bantuan pernafasan untuk pesakit COVID-19, kakitangan perubatan menggunakan kaedah inovatif dengan beralih kepada topeng snorkeling daripada kedai peralatan sukan untuk menghalang paru-paru daripada gagal berfungsi.

Idea itu bermula di Itali, iaitu negara Eropah yang paling teruk terjejas oleh pandemik koronavirus, manakala hospital di negara lain mengambil contoh dan menambah peralatan perubatan khusus menjayakannya..

Salah satunya ialah Hospital Erasme di pinggir ibu kota Belgium di Brussels yang besekutu dengan Université Libre de Bruxelles melalui penghasilan produk swasta oleh syarikat Endo Tools Therapeutics, yang sudah terbukti dalam kepakaran percetakan 3D untuk kegunaan perubatan.

Menurut Ahli Fisioterapi Pernafasan di hospital yang juga tenaga pengajar di universiti, Frederic Bonnier, ia digunakan untuk pesakit yang mengalami masalah pernafasan yang teruk.

"Matlamatnya adalah untuk mengelakkan daripada memasukkan tiub ke dalam trakea pesakit dan meletakkannya pada respirator (alat bantuan pernafasan).

Beliau menerajui rekaan bentuk injap buatan khas yang sepadan dengan bahagian atas topeng muka penuh, di mana peralatan snorkel ditempatkan, seterusnya membolehkan ia disambung kepada mesin BiPAP (tekanan udara positif dua fungsi) standard yang mengalirkan udara bertekanan ke dalam topeng.

Ini membantu mencegah alveoli gagal berfungsi, iaitu kantung udara paru-paru yang menyedut

oksigen ke dalam badan dan menghembuskan karbon dioksida.

Pneumonia yang dibawa oleh COVID-19 menyebabkan keradangan paru-paru dan kantung dipenuhi cecair.

Bagi kes jangkitan yang teruk, pesakit perlu dihubungkan dengan alat bantuan pernafasan di unit rawatan rapi, bagaimanapun hospital mengalami kekurangan peralatan

kerana jumlah pesakit yang terlalu ramai.

Oleh itu, topeng snorkeling boleh menjadi langkah penyelesaian bagi pesakit yang dirawat di ICU bagaimanapun kekurangan katil atau alat bantuan pernafasan.

Topeng muka hospital untuk mesin BiPAP yang kurang intensif turut mengalami kekurangan.

Bonnier berkata beliau akan mula menguji 50 topeng pada pesakit bermula esok.

Ia adalah jenama sama yang digunakan oleh doktor Itali, yang disumbangkan peruncit sukan Perancis, Decathlon. Topeng itu sendiri dibuat di Itali.

Bonnier menjelaskan, ia jauh lebih selesa daripada topeng hospital yang muat-muat dengan hidung dan mulut serta mencengkam ke dalam kulit.

Bagaimanapun, beliau memberikan memberi amaran bahawa ia tidak diuji untuk perubatan standard, bermakna hanya boleh digunakan sekali dan tidak boleh disteril bagi kegunaan pesakit lain.

Reka bentuk Itali untuk injap 3D yang dicetak juga perlu direka semula.

"Ia agak rumit untuk dibuat, agak berat dan tidak begitu selesa, jadi kami mempunyai idea untuk mengubah sedikit lagi dengan mencari idea dan membangunkan bahagian sambungan sendiri," katanya.

Penyambung injap plastik baru kini sudah dicetak 3D dan siap untuk diuji.

Bonnier berkata, pekerja kesihatan di wad COVID-19 juga boleh menggunakan topeng untuk perlindungan terhadap virus.

Beliau bagaimanapun khuatir orang ramai akan mula panik dan membelinya di pasaran sehingga mengahalang hospital daripada menerima peralatan itu untuk merawat pesakit.

Beliau juga mengatakan bahawa, walaupun ujian itu jika terbukti berhasil, masih ada persoalan mengenai berapa banyak topeng sedemikian boleh dikeluarkan oleh syarikat sukan, dan di bawah keadaan apa.

Menyedari mengenai penggunaan kecemasan terhadap topeng snorkeling keluarannya, Decathlon menyatakan "minat" - bagaimanapun ia tetap berhemah.

"Pada masa ini kami tidak mendapat pengesahan bahawa penyelesaian ini benar-benar berhasil.

"Sekiranya kami melihat percubaan ini berjaya, dan hospital ini mengesahkan bahawa beberapa ujian berfungsi, maka kami akan memaklumkan kepada anda, tetapi pada masa yang sama, berhati-hati terhadap maklumat tanpa sumber dan tidak disahkan di media sosial kebelakangan ini."katanya melalui akaun Twitter-AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X