Ahad, 29 March 2020 | 7:44am
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau. - Foto AFP
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau. - Foto AFP

COVID-19: Rakyat Kanada ada gejala coronavirus dilarang naiki keretapi, kapal terbang perjalanan domestik

MONTREAL: Perdana Menteri Kanada, Justine Trudeau menegaskan rakyat negara itu yang menunjukkan gejala mungkin mempunyai coronavirus (COVID-19) tidak dibenarkan masuk ke dalam kereta api atau pesawat untuk perjalanan domestik.

Dalam sidang media hariannya, beliau berkata, sekatan baharu itu akan dilaksanakan mulai Isnin,

Katanya, penumpang akan diminta menjalani pemeriksaan kesihatan wajib sebelum menaiki pesawat atau kereta api, dan boleh dihalang daripada meneruskan perjalanan masing-masing jika dikesan tidak sihat.

Buat masa ini, beliau berkata, larangan itu hanya dilaksanakan bagi perkhidmatan kereta api antara bandar.

“Sesiapa yang mempunyai simptom seperti selesema perlu tinggal di rumah.

“Kerajaan juga sudah meminta syarikat penerbangan menahan penumpang yang menunjukkan gejala dari penerbangan masuk ke Kanada.

“Perjalanan bas tidak terjejas oleh sekatan baharu ini kerana ia tidak dikawal oleh pihak berkuasa Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, Trudeau berkata, ketika ini dia tidak membayangkan untuk menutup sempadan antara wilayah negara itu.

"Terdapat perjalanan penting yang berlaku sebagai barangan dan makanan yang dapat disampaikan di seluruh negara," kata Trudeau.

Beliau turut meminta kerjasama rakyatnya untuk membendung penularan COVID-19 dengan duduk di rumah.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Kanada pula dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan kesihatan penumpang termasuk ‘bertanya soalan berkaitan tahap kesihatan’ dan ‘mengesan tanda-tanda penyakit sebelum menaiki pesawat’.

Pengendali perkhidmatan udara dan kereta api dibenarkan menghalang perjalanan ‘penumpang yang mempunyai gejala COVID-19’ bagi tempoh 14 hari, kecuali dapat mengemukakan sijil perubatan yang mengesahkan bahawa ianya ‘tidak berkaitan dengan COVID-19’.

Setakat ini, Kanada merekodkan lebih daripada 5,100 kes jangkitan COVID-19 dengan 55 kematian.

Ketua Agensi Kesihatan Awam negara itu, Theresa Tam, berkata kepada pemberita, 30 peratus daripada mereka yang dimasukkan ke hospital di Kanada atas COVID-19 umur di bawah 40 tahun.

Di Quebec, di mana terdapat 22 kematian dan kira-kira separuh daripada kes yang disahkan negara, kerajaan telah mengadakan pusat pemeriksaan polis untuk membendung kemasukan ke lapan bahagian wilayah seterusnya bagi menghalang penyebaran virus berkenaan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X