Isnin, 16 March 2020 | 7:18pm
Gambar fail menunjukkan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan isteri Sophie Gregoire Trudeau. COVID-19 sudah merebak ke seluruh Kanada dan Sophie turut disahkan positif dijangkiti wabak itu. - Foto REUTERS
Gambar fail menunjukkan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan isteri Sophie Gregoire Trudeau. COVID-19 sudah merebak ke seluruh Kanada dan Sophie turut disahkan positif dijangkiti wabak itu. - Foto REUTERS

COVID-19 sudah merebak ke seluruh Kanada

OTTAWA: Wabak COVID-19 kini sudah menular ke seluruh Kanada, yang mengesahkan 313 kes tersebar di kesemua 10 wilayahnya.

Ketua Pegawai Kesihatan Awam Kanada, Theresa Tam, berkata wilayah Atlantik adalah kawasan terbaru dijangkiti coronavirus itu, manakala bandar metropolitan utama iaitu Toronto, Montreal dan Vancouver kekal kawasan paling terjejas.

“Saya memohon semua orang mengambil langkah berjaga-jaga membendung penyebaran virus ini,” katanya.

Langkah itu termasuk mengehadkan perjalanan, kuarantin diri selama 14 hari sebaik pulang dari luar negara, elakkan kawasan sesak, jarakkan bersosial dan bekerja dari rumah.

Selepas mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Justin Trudeau, setiap menteri menjangkakan lebih banyak pengumuman akan dibuat dalam usaha mengekang penularan virus itu.

Kata Tam, kebanyakan kes yang berlaku dikaitkan dengan perjalanan dan ia mungkin boleh berubah dengan cepat jika langkah segera tidak diambil.

Terdahulu, Trudeau ditanya sama ada beliau sedang mempertimbangkan untuk menutup sempadan, namun berkata pihaknya sudah mengambil segala langkah perlu dan kini melihat kepada tindakan seterusnya.

Beliau ditemuramah dari rumahnya di Ottawa, di mana beliau dan keluarganya dikuarantin selepas isterinya, Sophie, disahkan positif COVID-19.

Trudeau berkata, isterinya mengalami sakit kepala tetapi tidaklah teruk dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Kanada sudah menguji hampir 25,000 orang, jumlah terbesar per kapita di dunia, dan jumlah yang disahkan positif meningkat ketara berbanding minggu lalu termasuk satu kematian.

Sementara itu, Tam berkata amat penting untuk setiap negara membendung virus itu dengan cara mereka sendiri, namun negara yang belum menggubal larangan perjalanan tidak mungkin dapat mencegah penularan.

“Sesetengah negara yang paling banyak terkesan adalah antara negara yang mengambil langkah kawalan yang ketat,” katanya. - AFP

Berita Harian X