Rabu, 11 March 2020 | 11:15am
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto REUTERS
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto REUTERS

Parlimen Russia lulus pindaan bolehkan Putin bertanding lagi

Moscow: Parlimen Russia meluluskan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Vladimir Putin bertanding untuk jawatan presiden sekali lagi pada 2024, sekali gus membuka laluan untuk kekal berkuasa sehingga 2036.

Putin, 67, yang menguasai landskap politik Russia selama dua dekad, sama ada sebagai presiden atau perdana menteri, membuat penampilan dramatik di Parlimen semalam, bagi berhujah bahawa had tempoh kurang penting ketika krisis.

Berdasarkan Perlembagaan Russia sebelum ini, Putin yang juga bekas pegawai KGB, dikehendaki meletak jawatan pada 2024 apabila penggal kedua dan keempatnya sebagai presiden tamat.

Bagaimanapun, pindaan yang disokong beliau itu secara rasmi menetapkan semula penggal presidennya kepada sifar.

Dewan Duma (Parlimen Russia) yang merangkumi 450 kerusi, semalam mengundi bagi perubahan itu, bersama dengan pindaan lain Perlembagaan, dengan 383 undi pada bacaan ketiga dan terakhir.

Ahli Parlimen Valentina Tereshkova, mencadangkan perubahan ke atas klausa berhubung tempoh jawatan presiden yang sekarang ini terhad untuk dua penggal berturut-turut.

Tidak ada yang mengundi membantah, namun 43 penggubal undang-undang memilih untuk tidak mengundi (berkecuali) manakala 24 lagi tidak hadir.

Pengkritik Putin menjangkakan, jika mahkamah Perlembagaan membenarkan pindaan itu sekarang dan ia disokong pengundi di seluruh negara pada April, Putin mempunyai pilihan untuk bertanding lagi sebagai presiden pada 2024.

Jika menjadi kenyataan dan kesihatan serta tuah pilihan raya mengizinkannya, Putin berpotensi kekal memegang jawatan itu bagi dua penggal enam tahun lagi sehingga 2036, sampai berusia 83 tahun dan menghabiskan 36 tahun di puncak politik Russia.

Pengkritik dan ahli politik pembangkang Kremlin, Alexei Navalny, berkata beliau percaya Putin kini akan cuba menjadi presiden untuk seumur hidup.

Putin tidak menjelaskan mengenai rancangan masa depannya selepas 2024, tetapi pernah berkata beliau tidak menyokong amalan era Soviet, yang mana pemimpinnya berkuasa seumur hidup, malah ada yang meninggal dunia ketika memegang jawatan. - REUTERS

Berita Harian X