Selasa, 11 Februari 2020 | 10:09am
Air laut bergelora jeti di Plobannalec-Lesconil, Perancis barat ketika ribut Ciara melanda di barat Eropah. - Foto AFP
Air laut bergelora jeti di Plobannalec-Lesconil, Perancis barat ketika ribut Ciara melanda di barat Eropah. - Foto AFP

Enam maut akibat ribut Ciara

FRANKFURT: Angin kencang dan hujan lebat berikutan ribut Ciara menyebabkan sekurang-kurangnya enam nyawa terkorban, di seluruh Eropah utara, semalam.

Berikutan kejadian itu turut mengakibatkan perjalanan terjejas dan ratusan penerbangan, perkhidmatan kereta api dibatalkan, selain mengganggu perlawanan sukan.

Ia dikategorikan sebagai antara ribut yang paling ganas melanda rantau itu, dengan seorang lelaki dilaporkan maut dan seorang lagi dilaporkan hilang di selatan Sweden apabila bot dinaiki mereka terbalik.

Di Republik Czech, seorang lelaki maut ketika keretanya melalui sebatang jalan raya di saat beliau cuba mengelakkan pokok yang tumbang.

Beberapa orang lain turut cedera di negara itu apabila angin kencang bertiup pada kelajuan 180 kilometer sejam yang mampu menumbangkan trak serta menjejaskan lebih 100,000 penduduk.

Di Slovenia, seorang lelaki berusia 52 tahun maut, semalam apabila ditimpa pokok ketika dalam perjalanan di timur laut negara itu.

Di selatan Poland, seorang wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya terkorban selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin ribut.

Polis di London berkata, seorang lelaki meninggal dunia selepas keretanya dihempap pokok ketika melalui jalan raya di barat daya ibu kota itu.

Jalan dibanjiri air berhampiran jambatan Hebden, England akibat ribut Clara melanda Britain. - Foto AFP
Jalan dibanjiri air berhampiran jambatan Hebden, England akibat ribut Clara melanda Britain. - Foto AFP

Di barat Jerman, pokok yang tumbang menyebabkan kecederaan parah kepada tiga orang termasuk dua wanita di Sarrebruck - salah seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal manakala budak lelaki berusia 16 tahun cedera di Paderborn.

Ribut Ciara melanda rantau itu sejak hujung minggu lalu menyebabkan banjir di England, menjejaskan lebih 130,000 penduduk di utara Perancis, selain menjejaskan perkhidmatan perjalanan udara, kereta api dan jalan raya di beberapa negara.

Ribut itu juga melumpuhkan beberapa bandar serta aktiviti 35,000 isi rumah di Austria utara.

Berita Harian X