Khamis, 6 Februari 2020 | 11:06pm
OPERASI mencari mangsa runtuhan salji di wilayah Van. - Foto Reuters
OPERASI mencari mangsa runtuhan salji di wilayah Van. - Foto Reuters

Jumlah kematian dua runtuhan salji meningkat 41

ISTANBUL : Jumlah kematian akibat runtuhan salji di timur Turki meningkat kepada 41 hari ini, kata agensi pengurusan bencana, ketika pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mengesan dua mangsa yang masih hilang.

Lima terbunuh dalam runtuhan pertama di wilayah Van, sempadan Iran pada Selasa, sebelum runtuhan kedua menimpa pasukan penyelamat keesokan harinya.

Agensi berita DHA melaporkan, tiga lagi mayat berjaya dikeluarkan hari ini, dengan agensi bencana AFAD memberitahu, seramai 84 orang cedera dalam kedua-dua runtuhan berkenaan.

Menurut DHA lagi, misi menyelamat masih dilakukan walaupun dalam cuaca buruk yang menyebabkan masalah pengangkutan.

Pihak berkuasa juga dilaporkan sudah menutup lokasi kepada orang ramai.

Bulan lalu, wilayah Elazig dilanda gempa bumi kuat berukuran 6.7 yang meragut 41 nyawa dan mencederakan 1,600 mangsa lain.

Runtuhan salji di wilayah Gumushane, timur laut Turki pada 2009 pula meragut nyawa 11 pendaki yang ketika itu berada di kawasan pergunungan Zigana. - AFP

Berita Harian X