Sabtu, 18 Januari 2020 | 7:43pm
Polis menahan dua lelaki di Belanda dan Ireland Utara kerana disyaki cuba menjual kira-kira 12 bilion identiti dan kata laluan pengguna yang dicuri, menerusi sebuah laman sesawang. - Foto hiasan
Polis menahan dua lelaki di Belanda dan Ireland Utara kerana disyaki cuba menjual kira-kira 12 bilion identiti dan kata laluan pengguna yang dicuri, menerusi sebuah laman sesawang. - Foto hiasan

Dua ditahan cuba jual 12 bilion kata laluan: Polis Belanda

THE HAGUE: Polis menahan dua lelaki di Belanda dan Ireland Utara kerana disyaki cuba menjual kira-kira 12 bilion identiti dan kata laluan pengguna yang dicuri, menerusi sebuah laman sesawang, kata polis Belanda semalam.

Suspek pertama berusia 22 tahun ditahan di Arnhem, timur Belanda apabila kediamannya diserbu berdasarkan maklumat dari unit jenayah siber yang turut bekerjasama dengan Agensi Jenayah Nasional di Britain, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan polis Jerman.

Suspek kedua, juga berusia 22 tahun ditahan di Ireland Utara, kata polis Belanda dalam satu kenyataan.

Dalam serbuan di Arnhem, polis menemui peralatan profesional yang memudahkan kegiatan mencuri dan menawarkan jualan identiti serta kata laluan pengguna di laman sesawang ‘We leak info’, kata polis Belanda dalam satu kenyataan.

Menurut agensi penguat kuasa undang-undang, suspek Belanda itu terbabit memiliki dan menawarkan identiti serta kata laluan pengguna yang dicuri, selain memainkan peranan membantu aktiviti jenayah siber.

Apabila diselidik, laman sesawang itu memaparkan kenyataan memberitahu laman sesawang berkenaan sudah disita oleh FBI dan beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang Eropah yang lain.

Polis Belanda enggan memberikan sebarang komen dengan berkata, siasatan masih berjalan.

WeLeakInfo.com didakwa menawarkan akses tanpa had ke atas semua maklumat terkandung di laman mereka dengan bayaran dua dolar sehari atau 25 dolar sebulan, kata stesen penyiaran awam NOS.

Semua maklumat berkenaan adalah dari siri koleksi kata laluan yang dicuri dari laman web dan aplikasi popular seperti LinkedIn dan MyFitnessPal.

“Secara teori, anda boleh mencari ratusan atau ribuan kata laluan untuk mencuba mendapat akses kepada emel mana-mana individu, media sosial atau akaun lain digunakan,” lapor NOS.

Polis Belanda dan British pada 2018 mengetuai operasi yang membawa kepada penutupan laman web terbabit dengan lebih empat juta serangan siber seluruh dunia. - AFP

Berita Harian X