Khamis, 16 Januari 2020 | 9:33am
Presiden, Vladimir Putin (kanan) menghadiri mesyuarat bersama ketua pengarah agensi cukai, Mikhail Mishustin di Moscow, Russia. - Foto REUTERS
Presiden, Vladimir Putin (kanan) menghadiri mesyuarat bersama ketua pengarah agensi cukai, Mikhail Mishustin di Moscow, Russia. - Foto REUTERS

Putin lantik pengarah agensi cukai sebagai Perdana Menteri

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, mengumumkan pelantikan ketua pengarah agensi cukai, Mikhail Mishustin sebagai perdana menteri serta mencadangkan pindaan perlembagaan.

Putin semalam mengumumkan pindaan itu akan menyebabkan berlaku perubahan antaranya memberikan lebih banyak kuasa kepada parlimen, termasuk dalam soal pemilihan perdana menteri dan anggota kabinet berbanding sistem sedia ada yang lebih tertumpu kepada kuasa presiden.

Ahli parlimen negara itu dijangka bertemu Khamis ini bagi memperakukan pelantikan Mishustin sebagai perdana menteri Russia yang baharu.

Perubahan pentadbiran kerajaan ini menimbulkan pelbagai spekulasi khususnya kesan terhadap sistem politik Russia dan kemungkinan langkah itu akan membolehkan Putin terus kekal sebagai Presiden selepas tempoh maksimum empat penggalnya berakhir pada 2024.

Putin dalam pengumuman itu berkata, rakyat pada masa kini ingin melihat perubahan dilaksanakan.

“Kita mampu membina negara yang kuat dan harmoni sekiranya meletakkan pandangan rakyat sebagai asas dan keutamaan,” kata pemimpin berusia 67 tahun itu.

Beberapa jam selepas pengumuman itu dibuat, Putin dan Perdana Menteri Russia, Dmitry Medvedev muncul dalam siaran televisyen nasional negara itu bagi memaklumkan peletakan jawatannya dan seluruh Kabinet.

Medvedev berkata, perubahan dalam perlembagaan Russia itu akan membawa impak yang besar khususnya berkaitan keseimbangan kuasa dalam kerajaan. - AFP

Berita Harian X