Rabu, 15 Januari 2020 | 9:21pm
PRESIDEN Russia, Vladimir Putin. - Foto REUTERS
PRESIDEN Russia, Vladimir Putin. - Foto REUTERS

Putin cadang pungutan suara pinda Perlembagaan Russia

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, mencadangkan satu pungutan suara diadakan untuk meminda Perlembagaan negara bagi meningkatkan lagi kuasa Parlimen bagi memperkukuhkan sistem presidennya.

“Saya merasakan ada keperluan melaksanakan undian dalam kalangan rakyat berhubung cadangan meminta Perlembagaan negara.

“Kita mampu membina kemakmuran Russia dengan menghormati pandangan orang awam. Kita mampu mengubah kehidupan ke arah lebih baik,” katanya dalam ucapan tahunan kepada penggubal undang-undang, tanpa menetapkan tarikh bila undian itu diadakan.

Putin berkata, penambahan kuasa Parlimen menjadikan penggubal undang-undang negara itu bertanggungjawab memilih Perdana Menteri dan anggota Kabinet kanan.

“Langkah ini akan meningkatkan lagi peranan Parlimen negara ini,” katanya.

Menerusi langkah itu juga, Presiden tidak mempunyai kuasa untuk menolak cadangan dikemukakan sebagai calon, namun beliau berkata, Presiden boleh memecat Perdana Menteri dan anggota Kabinet kanan terbabit.

“Russia perlu kekal kuat sebagai sebuah republik. Peranan gabenor juga akan diperkasakan,” katanya.

Putin turut mencadangkan klausa mengehadkan tempoh jawatan Presiden untuk dua penggal berturut-turut boleh diubah, namun tidak menyatakan bagaimana ia boleh dilakukan.

Kali terakhir Russia mengadakan pungutan suara adalah pada tahun 1993 ketika mengguna pakai Perlembagaan di bawah pimpinan Boris Yeltsin. - AFP

Berita Harian X