Ahad, 22 Disember 2019 | 10:19am
RIBUT Fabien melanda Sepanyol. - Foto AFP
RIBUT Fabien melanda Sepanyol. - Foto AFP

Ribut kuat ragut 8 nyawa di Sepanyol dan Portugal

MADRID: Dua ribut kuat yang melanda Sepanyol dan Portugal sejak tiga hari lalu meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa, selain mengakibatkan banjir serta kerosakan harta benda.

Di selatan Andalusia, jurucakap perkhidmatan kecemasan berkata, mereka menemui mayat seorang peluncur ombak di wilayah Huelva, manakala mangsa kedua, seorang lelaki maut di Granada selepas keretanya dihanyutkan arus sungai.

Seorang wanita pula meninggal dunia di Madrid akibat kecederaan selepas ditimpa struktur bangunan yang runtuh akibat angin kencang di pusat bandar, sehari sebelum itu.

Ribut Fabien melanda Sepanyol semalam, membawa bersama angin kencang dan hujan lebat, ketika kekuatan Ribut Elsa yang bermula di semenanjung Iberia Rabu lalu, mula berkurangan.

Agensi pertahanan awam Sepanyol berkata, kelajuan angin dibawa ribut terbaharu itu boleh mencecah sehinga 140 kilometer sejam dan ombak setinggi 9 meter di perairan pantai Atlantik, barat laut negara berkenaan.

Pada Jumaat lalu, seorang mangsa terbunuh dalam tanah runtuh di Asturias, manakala mangsa kedua maut dihempap tembok batu di Galicia, diikuti kematian ketiga membabitkan seorang individu yang dihanyutkan arus deras di Castille.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki menemui ajal di Montijo, berhampiran Lisbon Khamis lalu apabila trak dipandunya dihempap pokok tumbang.

Mangsa kedua, juga seorang lelaki pula terbunuh selepas rumahnya runtuh di Castro Daire, utara Portugal. - Reuters

Berita Harian X