Ahad, 15 Disember 2019 | 8:23pm
Pemimpin pembangkang Buruh Britain, Jeremy Corbyn membayangkan meletak jawatan daripada partinya tahun depan. -Foto Reuters
Pemimpin pembangkang Buruh Britain, Jeremy Corbyn membayangkan meletak jawatan daripada partinya tahun depan. -Foto Reuters

Corbyn mohon maaf kekalahan Buruh, mungkin berundur 2020

LONDON: Pemimpin pembangkang utama Britain, Jeremy Corbyn memohon maaf kepada penyokongnya hari ini kerana mengemudi kekalahan terburuk Buruh sejak sebelum Perang Dunia Kedua.

Namun veteran sosialis itu mempertahankan platform kempen haluan kirinya dan tidak memberi petunjuk jelas bila beliau mungkin berundur.

“Saya tidak akan berselindung mengenainya. Keputusan pilihan raya Khamis lalu adalah satu tamparan besar buat semua orang yang terdesak mahukan perubahan sebenar untuk negara.

“Saya mahu menyatukan negara yang saya sayangi namun saya memohon maaf kami kalah dan bertanggungjawab untuk keputusan itu,” tulis Corbyn dalam akhbar Sunday Mirror.

Pilihan raya awal Khamis lalu memberi mandat besar kepada Parti Konservatif pimpinan Boris Johnson untuk membawa Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) menjelang akhir bulan depan.

Corbyn berkata Jumaat lalu, beliau akan meletak jawatan awal tahun depan. Namun parti berusia sekurun itu tidak memiliki pengganti jelas dan diburukkan dengan perbalahan dalaman di peringkat kanan kepimpinan.

Kempen Buruh juga dilingkari kecurigaan pengundi berhubung kedudukan samar-samarnya mengenai Brexit dan tuduhan anti-Yahudi dalam peringkat kanan parti. -AFP

Berita Harian X