Jumaat, 13 Disember 2019 | 8:55am
Parti aktivis mengawasi prosiding pengiraan kertas undi di pusat kiraan di Bishopbriggs, utara Glasgow. - Foto AFP
Parti aktivis mengawasi prosiding pengiraan kertas undi di pusat kiraan di Bishopbriggs, utara Glasgow. - Foto AFP

Bancian ramal Johnson menang besar

LONDON : Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri, Boris Johnson bakal meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Britain, menerusi kemenangan majoriti 86 kerusi, lapor satu bancian semalam, sekali gus mengukuhkan usaha beliau untuk melaksanakan Brexit pada 31 Januari depan.

Bancian berkenaan menunjukkan bahawa Parti Konservatif diterajui Johnson boleh meraih kemenangan besar dengan 368 kerusi, lebih daripada mencukupi untuk memperoleh majoriti selesa dalam parlimen 650 kerusi, sekali gus menjadi kemenangan terbesar Konservatif sejak kejayaan Margaret Thatcher pada 1987.

Jika bancian berkenaan tepat seperti disasarkan dan pertaruhan Johson untuk pilihan raya lebih awal menjadi, beliau akan meneruskan pelaksanaan perjanjian Brexit yang dimeterai bersama Kesatuan Eropah (EU) bagi membolehkan United Kingdom berundur dari blok berkenaan pada 31 Januari, 10 bulan lebih lewat dari perancangan awal.

“Saya harap anda akan bergembira malam ini. Jika ada rezeki, kita akan mula bekerja esok,” kata Johnson menerusi emel kepada penyokongnya.

Perdana Menteri, Boris Johnson keluar dari pusat mengundi di London, Britain. - Foto REUTERS
Perdana Menteri, Boris Johnson keluar dari pusat mengundi di London, Britain. - Foto REUTERS

Kertas undi pertama disusun di pusat kiraan di Bishopbriggs, utara Glasgow. - Foto AFP
Kertas undi pertama disusun di pusat kiraan di Bishopbriggs, utara Glasgow. - Foto AFP

Mata wang pound melonjak lebih 2 peratus berbanding dolar dan euro semalam.

Menjelang 10.25 malam (waktu tempatan), nilai pound melambung sehingga 2.5 peratus kepada AS$1.3510 GBP=D3, keuntungan terbesar sejak Januari 2017.

Dalam bancian itu, parti Buruh pula diramalkan memenangi 191 kerusi, iaitu keputusan terburuk pernah dicatatkan sejak 1935.

Parti Nasional dari Scotland pula akan memenangi 55 kerusi, parti Liberal Demokrat 13 kerusi dan Parti Brexit tidak meraih sebarang kemenangan.

Keputusan rasmi akan dikeluarkan dalam tempoh tujuh jam lagi. - Reuters

Berita Harian X