Sabtu, 30 November 2019 | 11:22pm

50 korban gempa Albania, misi pencarian ditamatkan

TIRANA: Jumlah kematian gempa bumi kuat Albania meningkat kepada 50 orang, ketika pencarian mangsa terselamat ditamatkan, kata Perdana Menteri Edi Rama, hari ini.

Gempa bumi 6.4 magnitud itu melanda negara Balkan terbabit, sebelum Subuh, Selasa lalu. Ia adalah gempa paling berdarah dan paling pemusnah, sejak berdekad-dekad di negara itu yang menyebabkan 5,000 penduduk hilang tempat tinggal.

“Jumlah mangsa gempa bumi mencecah 50 orang dan operasi menyelamat sudah tamat,” kata Rama kepada mesyuarat kabinet.

Seluruh keluarga tertimbus dalam kediaman masing-masing, ketika tidur. Ramai ahli keluarga dan jiran terpaksa melalui keperitan menyaksikan mayat dikeluarkan pasukan penyelamat, minggu ini.

Menurut kementerian pertahanan, kira-kira 900 orang cedera dengan 41 daripada mereka masih di hospital. - AFP

Berita Harian X