Jumaat, 8 November 2019 | 9:11pm
Pete Doherty. Foto Agensi

Pete Doherty ditahan di Paris kerana memiliki kokain

PARIS: Penyanyi rock warga Britain, Pete Doherty diberkas di sini, semalam, atas kesalahan memiliki kokain.

Sumber polis Perancis memberitahu AFP, bekas anggota kumpulan Libertines itu cuba melawan ketika ditahan, tetapi berjaya diberkas pada awal pagi semalam, kerana memiliki dua paket kokain.

Menurut sumber, salah satu daripadanya sudah digunakan oleh Doherty.

Ketika ditahan, Doherty, 40, yang berada dalam keadaan mabuk, berusaha memusnahkan dadah berkenaan.

Beliau ditahan ketika berada di Ninth Arrondissement, iaitu kawasan sekitar Pigalle yang terkenal dengan kehidupan malam.

Doherty pernah berpasangan dengan model terkenal Kate Moss, tetapi sering mendapat liputan media atas pelbagai kesalahan dadah.

Pada 2012, penyanyi itu dibuang dari pusat pemulihan di Thailand selepas dikata memberi pengaruh buruk kepada pesakit lain, dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghapuskan ketagihannya. - AFP

Berita Harian X