Rabu, 23 Oktober 2019 | 9:26am
ANGGOTA polis menangkap seorang lelaki selepas mencuri ambulans di Oslo. - Foto AFP

4 cedera dirempuh lelaki curi ambulans

OSLO: Polis Norway menangkap seorang lelaki bersenjata yang mencuri ambulans di ibu kota negara itu semalam kemudian melanggar dan mencederakan empat pejalan kaki, termasuk sepasang bayi kembar.

Pihak berkuasa masih memburu suspek kedua, seorang wanita yang digambarkan berkulit putih dan memakai jaket hitam, dengan ketinggian 1.65 sentimeter dan berada dalam pengaruh dadah.

Menurut saluran TV2, lelaki yang ditangkap dalam lingkungan usia 30-an dan wanita yang diburu itu berusia 20-an.

Kedua-duanya rakyat tempatan.

Terdahulu, polis berkata mereka berjaya mengawal ambulans yang dicuri lelaki bersenjata.

Mereka terpaksa melepaskan tembakan untuk menangkap suspek, yang tidak mengalami kecederaan serius.

“Seorang wanita yang menolak kereta bayi dan sepasang warga tua cedera dilanggar atau terpaksa mengelak daripada dilanggar kenderaan itu,” menurut kenyataan polis di Twitter.

Hospital Universiti Oslo berkata, pasangan kembar tujuh bulan terbabit dalam kemalangan itu, seorang daripadanya mengalami cedera ringan dan status seorang lagi tidak diketahui. — Agensi

Berita Harian X