Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:20am

Wartawan tuntut Google buat bayaran

PARIS: Ratusan wartawan menggesa pegawai Eropah mengambil tindakan terhadap Google, berhubung keengganannya membayar syarikat media kerana mempamerkan kandungan berita, pelanggaran undang-undang hak cipta ketat terbaharu Kesatuan Eropah (EU).

Perancis adalah negara pertama mengesahkan undang-undang itu, yang diluluskan tahun ini dan berkuat kuasa hari ini untuk memastikan penerbit diberi bayaran apabila hasil kerja mereka disiarkan atas talian.

Namun bulan lalu, Google berkata artikel, gambar dan video cuma akan ditunjukkan dalam hasil pencarian jika firma media membenarkan gergasi teknologi itu menggunakan ia secara percuma.

Jika enggan berbuat demikian, cuma tajuk dan pautan kepada kandungan berita yang akan muncul, kata Google, hampir pasti menyebabkan penerbit hilang perhatian dan hasil iklan.

Kira-kira 800 wartawan selain jurugambar, pengarah filem dan ketua pegawai eksekutif media menandatangani surat terbuka yang disiarkan akhbar seluruh Eropah menggesa kerajaan memastikan Google dan firma teknologi lain mematuhi undang-undang baharu EU itu.

“Undang-undang itu berisiko tidak membawa apa-apa makna sebelum ia dikuat kuasa.

“Keadaan yang wujud sekarang, menyaksikan Google menikmati kebanyakan hasil iklan dijana berita yang dikumpul tanpa sebarang bayaran, tidak boleh dipertahankan dan meletakkan media dalam krisis mendalam setiap tahun,” menurut surat yang menyifatkan tindakan Google itu sebagai penghinaan kepada kedaulatan negara Eropah.

Presiden Kesatuan Agensi Berita Eropah dan Persatuan Penerbit Akhbar Eropah turut menandatangani surat berkenaan.

Google menegaskan ia memberi manfaat kepada penerbit berita dengan menyalurkan lebih lapan bilion lawatan ke laman web mereka setiap bulan di Eropah.

“Kami tidak membayar untuk pautan dimasukkan ke dalam hasil carian kerana ia akan meremehkan kepercayaan penggunan,” kata timbalan presiden Google yang bertanggungjawab ke atas berita, Richard Gingras, di Paris bulan lalu. — AFP

Berita Harian X