Selasa, 22 Oktober 2019 | 6:15pm
Isyarat kecemasan (Mayday) daripada sebuah kapal pemecah ais Russia yang membawa 33 penumpang ketika dipukul ribut di pantai barat Norway hari ini, dihantar secara tidak sengaja. - Foto Hovedredningssentralen

Kapal pemecah ais Russia silap hantar isyarat 'Mayday'

OSLO/MOSCOW: Isyarat kecemasan (Mayday) daripada sebuah kapal pemecah ais Russia yang membawa 33 penumpang ketika dipukul ribut di pantai barat Norway hari ini, dihantar secara tidak sengaja, kata pihak berkuasa Russia.

Pusat Koordinasi Penyelamat Bersama Norway melaporkan, panggilan kecemasan itu dibuat dari sebuah kapal, 22 kilometer dari bandar Aalesund. Operasi berkenaan dibatalkan sebaik enjinnya berjaya dihidupkan semula.

Agensi Pengangkutan Maritim dan Sungai Persekutuan Russia berkata, kapal terbabit membuat panggilan kecemasan secara tidak sengaja dan tidak mengalami masalah ketika itu, kata agensi berita TASS.

“Tiada masalah sebenarnya. Kapal pemecah ais itu dalam keadaan baik, anak kapal juga selamat. Isyarat kecemasan itu dihantar secara tidak sengaja akibat terputus bekalan elektrik sewaktu ribut,” kata agensi berkenaan.

Terdahulu, pasukan penyelamat Norway berkata, kapal berkenaan melaporkan empat enjinnya mati dan mula hanyut ke dalam ribut.

Dua kapal tunda dan kapal pengawal pantai Norway pada mulanya sudah dalam perjalanan ke tempat kejadian, sebelum dibatalkan tidak lama selepas itu, kata jurucakap perkhidmatan penyelamat terbabit. - Reuters

Berita Harian X