Selasa, 22 Oktober 2019 | 10:02am
Gambar fail menunjukkan Markle, Duchess of Sussex, Harry dan William di balkoni Istana Buckingham. -Foto AFP

William bimbangkan emosi Harry selepas wawancara televisyen

LONDON: Putera William dari Britain bimbang mengenai adiknya selepas Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle mendedahkan, mereka bergelut untuk meneruskan kehidupan apabila sering menjadi tumpuan media, lapor saluran BBC.

Saluran itu memetik sumber istana sebagai berkata, ada pandangan bahawa pasangan itu ‘dalam situasi rapuh.’

Sumber berkata, William bimbang mengenai adiknya itu dan berharap mereka dalam keadaan baik.

Harry, cucu kepada Ratu Elizabeth mengeluarkan beberapa kenyataan penuh emosi sejak beberapa bulan lalu mengecam tindakan akhbar tabloid dan mengambil tindakan undang-undang sebagai maklum balas terhadap apa yang digelar ‘membuli’ oleh sesetengah cawangan media.

Ahad lalu, saluran televisyen ITV menyiarkan satu dokumentari dirakam ketika jelajah pasangan itu ke Afrika baru-baru ini.

Dalam rancangan itu, Harry berkata, beliau tidak akan dibuli ‘untuk terbabit dalam permainan’ dengan media yang percaya membunuh ibunya Diana dan mendedahkan perseteruannya dengan William.

Puteri Diana menjadi wanita paling terkenal di dunia selepas berkahwin dengan pewaris takhta, Putera Charles namun meninggal dunia dalam nahas kereta pada 1997 selepas dikejar paparazzi di Paris.

Dalam dokumentari sama, Markle, bekas aktres Amerika Syarikat (AS) berkata, tahun lalu agak sukar dan rakannya pernah memberi amaran supaya tidak berkahwin dengan Harry kerana tindakan agresif akhbar tabloid Britain.

“Saya tidak pernah fikir ia mudah, namun saya fikir ia boleh diatasi dan itu adalah bahagian yang sukar.

“Apabila orang mengatakan perkara yang tidak betul dan mereka diberitahu ia tidak betul namun masih dibenarkan mengatakannya, saya tidak tahu sesiapa di dunia yang merasakan ia OK,” kata Markle dalam program disiarkan Ahad lalu.

Kedua-dua Harry dan Markle mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar tabloid terbesar Britain. Harry berkata, beliau percaya layanan media ke atas Markle adalah sama dengan apa yang dilakukan terhadap ibunya. -Reuters

Berita Harian X