Isnin, 21 Oktober 2019 | 8:45pm

Dua lelaki miliki heroin bernilai lebih 3 juta pound dihadap ke mahkamah

BRADFORD : Dua lelaki dihadapkan ke mahkamah selepas terbabit dalam rampasan heroin bernilai lebih 3 juta pound (RM16.29 juta), selain wang tunai bernilai 100,000 pound (RM542,986).

Penyiasat Agensi Jenayah Nasional (NCA) dengan dibantu Polis Barat Yorkshire menahan Yusuf Kara, 30 dari Lidget Green, Bradford dan Fayyaz Ashraf, 36 Khamis lalu susulan pembabitan dalam pengedaran heroin di sekitar Yorkshire dan Humber.

Yusuf dan Fayyaz dihadapkan ke mahkamah Sabtu lalu atas tuduhan melakukan konspirasi dalam membekalkan dadah gred A dan pengubahan wang.

Kedua-dua tertuduh ditahan sebelum sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah leeds Crown pada 18 November depan.

Menurut NCA, Fayyaz ditahan selepas seorang pegawai polis bertindak menghentikan kereta dipandu suspek di Bolton, sebelum menemui wang tunai berjumlah hampir 100,000 pound (RM542,986) tersembunyi di bawah sekeping lantai kenderaan.

Yusuf pula ditahan di Jalan Shearbridge, Bradford.

Pegawai yang menggeledah kediaman lelaki itu menemui 56 bungkusan, setiap satu mengandungi 1 kilogram heroin dengan nilai pasaran jalanan antara 2.5 juta pound (RM13.60 juta) dan 3 juta pound (RM16.32 juta) di dalam sebuah beg pakaian. - Agensi

Berita Harian X