Isnin, 21 Oktober 2019 | 5:29pm
PUTERA Harry dan Putera William. - Foto Reuters

Putera Harry akui 'tidak sependapat' dengan Putera William

LONDON : Putera Harry mengaku berada di ‘landasan berbeza’ bersama abangnya, Putera William tetapi tidak ketinggalan bertelagah atau berbaik antara satu sama lain.

Duke of Sussex itu kebelakangan ini diselubungi desas-desus mengenai hubungan yang berantakan bersama abangnya dan dalam satu wawancara bersama ITV, beliau mengesahkan bahawa terdapat sedikit pertelingkahan antara mereka.

Bercakap ketika lawatan ke selatan Afrika bersama isterinya, Meghan Markle baru-baru ini. Harry berkata pertalian saudara antara mereka tetap kekal selamanya.

“Kami buat masa ini memang berada di haluan berbeza namun saya akan selalu bersamanya jika diperlukan dan saya tahu, beliau akan melakukan yang sama.

“Kami tidak kerap bertemu seperti dahulu kerana masing-masing sibuk dengan urusan seharian namun saya menyayangi William sepenuh hati.

“Kebanyakan isu yang timbul sebenarnya hanya perkara remeh namun sebagai adik beradik, ada waktu pasang surut antara kami berdua,” kata Harry dalam wawancara berkenaan.

Meghan yang dikatakan turut terbabit dalam pertelingkahan bersama Kate Middleton pula menggambarkan masa dilalui agak sukar malah rakan-rakannya dari Britain pernah memberi amaran untuk tidak mengahwini Putera Harry.

Meghan, 38 tepaksa berdepan ‘serangan’ pihak media sejak mula memasuki keluarga Diraja berkenaan tahun lalu, dengan setiap kisah melingkari hidupnya menjadi buruan tabloid.

Pasangan Diraja berkenaan mengambil tindakan undang-undang bulan ini terhadap tabloid British, Mail on Sunday kerana menceroboh privasi mereka suami isteri.

Bekas aktres kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu berkata, beliau cuba menutup mulut dan tidak menghiraukan segala laporan tidak berasas pihak media namun mengakui tidak bersedia dikecam sehebat itu. - Agensi

Berita Harian X