Ahad, 20 Oktober 2019 | 7:31pm
Empangan runtuh menyebabkan 15 pekerja meninggal dunia di lombong emas di Siberia. - Foto EPA

3 ditahan tragedi empangan pecah di Siberia

MOSCOW: Tiga pegawai syarikat lombong emas di Siberia ditahan susulan kejadian empangan runtuh menyebabkan 15 pekerja meninggal dunia, kata pihak berkuasa Russia.

Jawatankuasa siasatan dalam satu kenyataan berkata, ketua, pengurus dan mandur syarikat lombong emas, Sissim sudah ditahan.

“Ketiga-tiga mereka di bawa ke Krasnoyarsk untuk disoal siasat,” kata jawatankuasa itu.

Menurut jawatankuasa beberapa serbuan dilakukan di premis syarikat terbabit.

“Pelanggaran peraturan ketika melakukan kerja melombong emas, sedang dinilai menjadi punca hingga membawa kepada kemalangan,” kata kenyataan itu.

Menurut beberapa pegawai pembinaan empangan itu sudah melanggar peraturan keselamatan dan pihak berkuasa mendakwa mereka tidak tahu kewujudannya.

Kementerian Situasi Keselamatan berkata, operasi mencari sudah dilancarkan tetapi cuaca buruk menghalang pengangkutan udara digunakan.

Tragedi itu ternyata mendapat perhatian segera daripada beberapa pengusaha lombong di Russia, yang menempatkan simpanan emas terbesar di dunia.

Lombong itu mengeluarkan hasil hampir 300 tan tahun lalu, kebanyakan hasil daripada syarikat besar. - AFP

Berita Harian X