Ahad, 20 Oktober 2019 | 8:01am
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson ketika membentangkan semakan semula perjanjian Brexit di Dewan Rakyat, di London, semalam. Foto AFP

PM Britain hantar surat mohon tangguh Brexit

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dilaporkan mengutus surat kepada Kesatuan Eropah (EU), bagi memohon penangguhan Brexit, tetapi tanpa tandatangannya.

Johnson mengambil tindakan itu, selepas anggota Dewan Rakyat menolak dan tidak bersetuju dengan pindaan perjanjian keluar dari EU, yang dikemukakannya.

Justeru, ia memaksa Johnson memohon penangguhan daripada EU berbanding tarikh yang ditetapkan pada 31 Oktober ini.

Bagaimanapun, beliau yang sebelum ini berjanji untuk memastikan Britain keluar dari EU pada tempoh yang ditetapkan, enggan menandatangani surat yang dihantar kepada Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk.

Penghantaran surat terbabit adalah bagi mematuhi undang-undang yang ditetapkan, tetapi pemimpin parti Konservatif itu dilaporkan turut menghantar sepucuk lagi surat yang memiliki tandatangannya.

Dalam surat kedua itu, Johnson menegaskan bahawa beliau tidak mahu menangguhkan tarikh akhir Brexit, yang sudah ditangguhkan sebanyak dua kali.

Sementara itu, surat kedua yang ditandatangani Johnson itu, turut diedarkan kepada beberapa syarikat media.

“Malangnya, apabila Parlimen melepaskan peluang untuk menyegerakan proses pengesahan.

“Permohonan untuk melanjutkan (tarikh akhir) akan menjejaskan kepentingan United Kingdom dan rakan kongsi kita dalam EU serta hubungan antara kita (negara EU).

“Kita perlu memastikan proses ini (Brexit) berakhir,” katanya yang turut menyatakan rasa kesal kerana pemimpin EU terpaksa meluangkan lebih masa untuk menangani isu Brexit.

Namun, Johnson tetap yakin beliau akan berjaya menyelesaikan proses pengesahan, iaitu keluar dari Brexit menjelang 31 Oktober ini.

Dalam pada itu, Tusk dalam ciapan di Twitter berkata: “Saya akan mula berbincang dengan pemimpin EU mengenai cara untuk menangani perkara ini”.

Sumber EU memberitahu AFP, proses itu akan mengambil masa selama beberapa hari, tetapi enggan memberi sebarang komen mengenai surat yang tidak ditandatangani oleh Johnson. - AFP

Berita Harian X