Ahad, 20 Oktober 2019 | 12:16am
Lima belas orang maut sementara enam mangsa hilang, selepas sebuah empangan yang dibina secara haram di lombong emas penempatan terpencil di Siberia runtuh, semalam.

15 maut empangan haram runtuh di Russia

MOSCOW: Lima belas orang maut sementara enam mangsa hilang, selepas sebuah empangan yang dibina secara haram di lombong emas penempatan terpencil di Siberia runtuh, semalam.

Empangan di Sungai Seiba, Krasnoyarsk, Siberia runtuh dan membanjiri beberapa kabin di mana pekerja tinggal, kata pihak berkuasa.

Air banjir berlumpur dan berais melanda beberapa kabin di sebuah kem lombong berhampiran kampung Shchetinkino, pagi semalam, ketika pekerja sedang berehat.

Jurucakap cawangan kementerian kecemasan wilayah, Alyona Aleksishina berkata, misi mencari dan menyelamat diteruskan, semalaman.

“Ia akan diteruskan walaupun apa yang berlaku,” katanya sambil menambah enam mangsa masih belum ditemui.

Pihak berkuasa berkata, empangan itu dibina melanggar peraturan keselamatan dan pihak berkuasa tidak tahu ia wujud. - AFP

Berita Harian X