Sabtu, 19 Oktober 2019 | 10:58pm
Bantahan ketika perarakan menentang Brexit di London hari ini. -Foto EPA

Johnson enggan tangguh Brexit selepas undian Parlimen

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata, beliau tidak akan berunding penangguhan lanjut perpisahan negara itu daripada Kesatuan Eropah (EU) selepas Parlimen mengundi menangguhkan undian berhubung perjanjian Brexit beliau.

Parlimen mengundi 322 berbalas 306 bagi menyokong pindaan dicadangkan Oliver Letwin, bekas Menteri Kabinet Konservatif.

Menurut perundangan diluluskan terdahulu, undian itu bermaksud, Johnson perlu patuh untuk menulis kepada EU bagi memohon penangguhan selepas tarikh pelaksanaan Brexit negara itu pada 31 Oktober.

Namun Johnson berulang kali berikrar, beliau tidak akan melakukannya dan tetap mempertahankan pendiriannya hari ini.

“Saya tidak akan berunding satu penangguhan dengan EU dan begitu juga undang-undang tidak membolehkan saya berbuat demikian.

“Saya akan maklumkan kepada rakan dalam EU apa yang saya maklumkan kepada semua sejak 88 hari berkhidmat sebagai Perdana Menteri, iaitu penangguhan lanjut tidak bagus untuk negara ini, EU dan demokrasi,” kata Johnson kepada Parlimen.

Bagaimanapun, undian itu bermaksud, kerajaan tidak akan mengadakan undian berhubung perjanjian Brexit seperti dirancang hari ini. Johnson berkata, ia akan mengadakan undian Selasa ini.

Pindaan Letwin mencadangkan, satu keputusan sama ada menyokong perjanjian supaya Brexit ditangguhkan sehingga semua perundangan diperlukan untuk pelaksanaannya diluluskan menerusi Parlimen.

Walaupun Johnson percaya ia boleh dicapai menjelang 31 Oktober, yang lain berpendapat, ia memerlukan satu kelewatan pendek ‘teknikal’ untuk perpisahan itu tercapai. -Reuters

Berita Harian X