Sabtu, 19 Oktober 2019 | 10:42pm
Polis Sepanyol bertembung dengan penunjuk perasaan selepas ribuan penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam bantahan digelar ‘Perarakan untuk Kebebasan’ di Barcelona, semalam. -Foto EPA

Lebih banyak keganasan di Barcelona, pemisah gesa bantahan baharu

BARCELONA: Bandar ini berdepan keganasan baharu hari ini selepas hampir 200 orang cedera dalam pertembungan dengan pemisah radikal yang membaling batu dan mercun ke arah polis yang membalas dengan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.

Satu pergerakan radikal pemisah muda, Arran, menggesa bantahan baharu ‘menentang penindasan’ di tengah bandar ini.

Ibu kota Catalan itu kelihatan seperti medan pertempuran semalam, hari kelima bantahan berturut-turut susulan keputusan mahkamah Sepanyol memenjarakan sembilan pemimpin pemisah atas tuduhan menghasut berikutan kegagalan pemisahan bandar itu dari Sepanyol dua tahun lalu.

Perkhidmatan kecemasan berkata hari ini, 152 orang cedera dalam pertempuran semalaman di bandar ini, dengan puluhan lagi cedera di seluruh Catalonia, menjadikan jumlahnya 182 orang.

Pihak berkuasa melaporkan 500 cedera sejak Isnin lalu sebelum pertembungan terbaharu meletus.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, 83 orang ditahan dalam keganasan semalaman sebagai tambahan kepada 128 tangkapan dilaporkan polis sebelum perarakan semalam.

Kira-kira setengah juta orang berhimpun di sini semalam dalam perarakan terbesar sejak keputusan mahkamah Isnin lalu ketika pemisah menggesa mogok umum di destinasi pelancongan utama itu. -AFP

Berita Harian X