Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:07pm

Pedofilia paling dahsyat Britain maut ditikam di dalam penjara

LONDON: Seorang pedofilia paling dahsyat Britain maut ditikam ketika berada dalam penjara, lapor sumber.

Menurut sumber, Richard Huckle, ditemui mati dalam sel penjara Full Sutton di Yorkshire, semalam.

Jurugambar bebas berusia 33 tahun yang berasal dari Ashford, Kent itu dijatuhkan 22 hukuman penjara dengan tempoh minimum 25 tahun bermula 2016 atas kesalahan melakukan penderaan ke atas 200 kanak-kanak.

Dia mengaku melakukan sejumlah besar kesalahan ke atas kanak-kanak berusia antara enam bulan dan 12 tahun bermula dari 2006 hingga 2014.

Huckle berselindung di sebalik agama dan kemahiran mengajar di dalam bahasa Inggeris untuk mendapatkan akses terhadap kanak-kanak di kawasan miskin di Malaysia, yang menyaksikan dia merogol bayi, kanak-kanak serta budak, sebilangannya sehingga melebihi tempoh tujuh tahun.

Sejumlah besar gambar dan video memaparkan serangan dan jenayah rogol dilakukan pedofilia terbabit turut dikongsi secara meluas di laman web gelap.

Lebih menjijikkan, dia juga menjadikan jenayah sadis itu sebagai satu sumber pendapatan menerusi penjualan imej mangsa yang dirakam.

Ketika ditahan, lelaki terbabit sedang membantu mewujudkan garis panduan untuk golongan pedofilia melakukan penderaan seksual kanak-kanak.

Susulan penahanan, 23 kanak-kanak dari komuniti miskin Kristian di Kuala Lumpur, Malaysia dikenal pasti menerusi 71 pertuduhan dikenakan ke atas Huckle.

Dia ditahan hasil perkongsian maklumat pihak berkuasa Australia ketika tiba di Lapangan Terbang Gatwick untuk menghabiskan cuti Krismas bersama keluarganya pada 2014. - Agensi

Berita Harian X