Sabtu, 12 Oktober 2019 | 11:58am

Vitamin, omega-3 berpotensi perbaiki gejala autisme

MADRID: Kanak-kanak autistik yang memakan vitamin dan asid lemak omega-3 mungkin menunjukkan simptom lebih sedikit berbanding mereka yang tidak mengambilnya, menurut ulasan penyelidikan.

Penyelidik memeriksa data daripada 27 percubaan membabitkan 1,028 kanak-kanak dengan gangguan spektrum autisme (ASD).

Mereka dipilih secara rawak untuk mengambil pelbagai makanan tambahan termasuk vitamin dan omega-3 atau sekadar mengambil pil biasa.

Makanan tambahan omega-3 dan vitamin jelas lebih berkesan berbanding pil biasa dalam memperbaiki beberapa simptom, fungsi dan domain klinikal, menurut laporan penyelidik dalam Pediatrics.

Kejayaan dicapai dalam beberapa percubaan tetapi termasuk memperbaiki bahasa dan skil sosial, mengurangkan tindak tanduk berulang, memperbaiki perhatian, mengurangkan keresahan dan tindak tanduk sukar dan tidur dan komunikasi lebih baik.

“Keputusan menunjukkan sebahagian pengambilan diet boleh memainkan peranan dalam pengurusan klinikal beberapa bidang tidak berfungsi khas untuk ASD,” kata ketua kajian dan penyelidik di Hospital General Universitario Gregorio Maranon dan Universidad Complutense de Madrid di Sepanyol, Dr David Fraguas.

Walaupun analisis berdasarkan uji kaji yang dikawal, piawaian emas bagi ujian keberkesanan campur tangan ubat, kajian individu terlalu banyak dalam jenis makanan tambahan yang diuji dan bagaimana mereka mengukur keputusan untuk melakarkan sebarang rumusan meluas mengenai jenis atau jumlah makanan tambahan yang sesuai bagi kanak-kanak autistik, kata penyelidik dalam Pediatrics.

“Mekanisma yang terbabit dalam menggariskan keberkesanan campur tangan pemakanan dalam ASD tidak diketahui.

“Kajian kami tidak menilai persoalan penting ini dan kajian bertulis tidak kukuh,” kata Fraguas menerusi emel.

Kira-kira satu dalam 59 kanak-kanak menghidap ASD, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS dan lebih kerap didiagnos dalam kalangan kanak-kanak lelaki. — Reuters

Berita Harian X