Isnin, 7 Oktober 2019 | 1:39pm

Hadiah Perubatan buka musim penganugerahan Nobel 2019

STOCKHOLM: Pengumuman Hadiah Perubatan Nobel hari ini membuka musim penganugerahan 2019 luar biasa yang turut menamakan dua pemenang kesusasteraan selepas skandal menangguhkan acara tahun lalu.

Ia dilakukan di tengah spekulasi remaja 16 tahun, Greta Thunberg, mungkin merangkul Hadiah Keamanan yang berprestij.

Pemenang Hadiah Perubatan akan didedahkan pada jam 11.30 pagi ini waktu Sweden di Stockholm.

Ia diikuti hadiah bagi fizik esok, kimia pada Rabu, kesusasteraan pada Khamis dan ekonomi pada 14 Oktober ini.

Sementara Hadiah Keamanan akan dianugerahkan di Oslo Jumaat ini, dengan aktivis suhu kelahiran Sweden itu dilihat sebagai kegemaran di laman pertaruhan seperti Ladbrokes.

Ramalan mengenai kemungkinan pemenang amat sukar kerana institusi berkenaan merahsiakan nama calon sejak 50 tahun lalu.

Bagi Hadiah Keamanan, Jawatankuasa Nobel Norway, cuma mendedahkan ia menerima 301 pencalonan tahun ini.

Secara tradisinya sensitif kepada isu yang menarik perhatian umum, jawatankuasa itu pasti menyedari ‘fenomena Greta’ sejak kebelakangan ini dan keghairahan yang dicetuskan remaja itu dalam kalangan generasi muda dalam kempennya meningkatkan kesedaran mengenai perubahan suhu.

Bagaimanapun, pakar masih berbahagi mengenai sam ada wujud kaitan antara konflik bersenjata dan perubahan suhu.

Ketua Institut Penyelidikan Keamanan Oslo, Henrik Urdal, menyifatkan ‘amat tidak berkemungkinan’ Thunberg akan menang, menambah usia remaja itu mungkin menjadi penghalang.

Pemenang termuda setakat ini ialah Malala Yousafzai, yang menang Hadiah Keamanan 2014 pada usia 17 tahun. — AFP

Berita Harian X